23/05/14
Pemuda Umno PP diarah beri laporan
Ketua
Pemuda Umno Pulau Pinang Rafizal Rahim telah diminta mengemukakan
laporan mengenai insiden sekumpulan lelaki merempuh masuk pagar utama
Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang semalam, kata Ketua Pergerakan
Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata insiden itu adalah
susulan kecaman Anggota DUN Seri Delima R.S.N Rayer yang mengatakan
"Umno Celaka" pada persidangan DUN itu.
Beliau berkata perbuatan Rayer adalah amat kurang ajar dan merupakan penghinaan kepada parti itu.
Namun, sekumpulan lelaki yang terdiri
daripada anggota Umno dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya
hanya membuat bantahan di luar pagar DUN dan tidak perlu memasuki dewan,
katanya kepada pemberita di Teluk Intan, hari ini.
Terdahulu, beliau membuat tinjauan mesra
bersama-sama calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil
Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong, di tapak penjaja di Dataran
Menara Condong di Teluk Intan, malam tadi.
Rayer mengeluarkan perkataan itu ketika
membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul
Rahman Abbas dengan mendakwa beberapa pemimpin Umno di negeri ini cuba
menghasut rakyat melalui satu demonstrasi dengan mengapi-apikan tragedi
13 Mei 1969.
Kumpulan berkenaan yang diketuai Naib
Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Jasmin Noordin kemudian memasuki dewan
persidangan tetapi gagal menemui Rayer yang tidak hadir pada sesi petang
persidangan.
Mereka mahu Rayer meminta maaf berhubung kenyataannnya semalam.
Persidangan DUN terhenti lebih satu jam
berikutan insiden itu dan Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior
Faridalatrash Wahid bersama sepasukan anggota polis menenangkan anggota
kumpulan itu serta mengarahkan mereka beredar dari situ.
Setakat 5.45 petang tadi, polis menahan
12 orang yang dikenal pasti masuk ke d alam dewan persidangan untuk
direkod keterangan dan disiasat.
- Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment