• Hudud
1 / 1
BANGI - Hukum hudud yang terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Kelantan hanya boleh dilaksanakan di negara ini sekiranya jenayah Syariah itu diiktiraf menjadi undang-undang Persekutuan.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata, Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak mempunyai bidang kuasa membuat undang-undang jenayah Syariah dan hanya Parlimen boleh berbuat demikian.

"Dalam Enakmen Kelantan itu, kesalahan jenayah seperti membunuh, merompak dan mencuri itu terletak dalam bidang kuasa Persekutuan.

"Mereka sedar ada beberapa perkara termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan yang tidak boleh dibuat undang-Undang oleh Dun Kelantan, kalau mereka buat juga akan bercanggah (Perlembagaan)," katanya pada Muzakarah Jenayah Syariah Kebangsaan bertajuk: Hudud di Malaysia, Peluang, Cabaran dan Halangan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut hasrat Pas Kelantan membawa undang-undang persendirian mengenai hudud ke Parlimen.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid menambah, jika Pas ingin melaksanakan hudud di Kelantan, undang-undang jenayah Syariah itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja dan bukan Islam tidak boleh disabitkan melainkan ia menjadi undang-undang Persekutuan.

"Kalau buat, bagi kesalahan hudud dibuat oleh negeri, ia hanya terpakai kepada orang Islam dan dilaksanakan oleh mahkamah Syariah.

"Tetapi bagi kesalahan hudud yang dibuat Persekutuan, dia akan terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam dan dilaksanakan oleh mahkamah sivil," katanya.

Dalam pada itu, katanya pada masa ini Perlembagaan Persekutuan hanya memperuntukkan bidang kuasa yang terhad kepada Mahkamah Syariah dalam menjatuhkan hukuman hanya kepada kesalahan terhadap suruhan agama.

Kesalahan terhadap suruhan agama itu jelasnya hanya melibatkan orang Islam seperti berzina, minum arak, tidak berpuasa di bulan Ramadan dan tidak menunaikan solat Jumaat.

"Pada masa ini masih ada satu halangan kecil, iaitu undang-undang Persekutuan yang hanya menghadkan hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah Syariah, dia tidak boleh jatuhkan hukuman selain itu seperti sebat kerana zina, itu tidak boleh," katanya lagi.