• PRK Teluk Intan: Dyana Sofya sah calon DAP
1 / 1
SHAH ALAM - Calon DAP bagi PRK Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud membidas kenyataan Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Jalil yang mendakwa dirinya diperalatkan parti itu.

Sebaliknya Dyana Sofya menegaskan beliau telah lama menyertai DAP dan mendapati parti itu menghargai setiap anggotanya menerusi penilaian meritokrasi dan bukannya berasaskan perkauman, anutan agama, jantina atau kawasan.


"Saya telah berada dalam parti itu cukup lama dan saya melihat sendiri di mana DAP menghargai keupayaan setiap anggotanya.


"DAP juga secara konsisten mempromosikan calon-calon muda tanpa mengira kaum seperti dalam pilihan raya termasuk menampilkan Teo Nie Ching, Liew Chin Tong pada PRU12 manakala Zairil Khir Johari, Kasthuri Patto dan Alice pada PRU13," katanya dalam  satu kenyataan media, hari ini.


Mengulas lanjut, Dyana Sofya juga menegaskan dakwaan itu hanya menunjukkan kegagalan Wanita Umno untuk menggalakkan anggotanya merebut jawatan dalam kepimpinan parti dan kerajaan.


"Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak sepatutnya memperkecilkan kepintaran dan keupayaan saya dalam membezakan antara BN yang hanya mempertahankan kepentingan mereka yang kaya dan berkuasa berbanding DAP melindungi hak rakyat Malaysia.


"Ia amat bertepatan dengan sikap negatif yang disemai pemimpin Wanita BN yang merampas peluang golongan ini memerintah negara," katanya lagi.