Ahad, 8 Jun 2014
MB Johor buat pusingan ‘U’ bentang rang baru, pinda kuasa sebagai penasihat Sultan
Rang undang-undang perumahan kontroversi negeri Johor akan dipinda untuk
mengubah keputusan awal dengan memberi kuasa penuh kepada Sultan, kata
Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) di sidang Dewan
Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Khaled berkata, peruntukan tersebut akan dimasukkan dalam Rang
Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) 2014 di mana
Sultan akan membuat keputusan atas nasihat menteri besar, lapor The Star
Online.
Khaled juga dilaporkan berkata, lain-lain klausa dalam Rang
Undang-Undang yang menyebut Sultan Johor akan ditukar kepada "kuasa
kerajaan negeri".
Rang undang-undang tersebut akan dibentang dalam sidang DUN esok.
Sebelum itu, laporan awal mendedahkan ia akan memberi kuasa penuh kepada
Sultan untuk melantik ahli lembaga pengarah LPHJ, memantau akaunnya dan
juga membubarkan lembaga itu.
Malah turut difahamkan, Sultan Johor juga boleh menentukan ganjaran ahli
lembaga pengarah, meluluskan pelantikan pengarah dan meluluskan
anggaran belanja setiap tahun berikut sebelum mendapatkan kelulusan
kerajaan negeri terlebih dahulu.
Pengumuman Khaled tersebut selepas kritikan dua parti Pakatan Rakyat
(PR), DAP dan PAS yang mendesak supaya rang tersebut digugurkan kerana
ia membelakangi sistem Raja Berperlembagaan dan memberi kuasa eksekutif
kepada Sultan.
Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong juga menggesa mendedahkan
kepincangan dalam rang tersebut serta mendesak supaya ia ditangguhkan
sebelum dibentang.
Antara kesilapan yang dikenal pasti adalah rang di dalam versi bahasa
Inggeris yang mempunyai kesilapan ejaan seperti "business" tersalah eja
sebagai "bossiness" serta beberapa perkataan lain hilang dalam rang
tersebut.
"Ia membuktikan rang undang-undang tersebut belum bersedia untuk diluluskan," kata Liew.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu juga membidas campur
tangan Istana Johor dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan
menyifatkannya mencemar sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi amalan
negara sejak merdeka.
Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak konflik akan wujud
antara istana dan kerajaan sekiranya diberikan kuasa langsung dalam
pentadbiran.
Aziz berkata, tindakan tersebut akan menyebabkan kuasa yang diperuntukan
dalam DUN berkurangan, sekaligus menganggu pentadbiran negeri Johor
jika ia diteruskan.
Kritikan turut disuarakan oleh bekas Pengerusi Johor Corporation
(JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim yang mendakwa Khaled akan terpaksa
mengikut telunjuk Istana Johor jika rang undang-undang itu diluluskan.
Hasrat kerajaan negeri itu menimbulkan tanda tanya dan mendapat pelbagai reaksi termasuk tentangan sesetengah pihak.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga berkata cadangan
pembentangan satu enakmen baru bagi penubuhan LPHJ mestilah membawa
kebaikan, manfaat dan melindungi kepentingan semua terutama rakyat.
Najib menegaskan enakmen itu juga mestilah selari dengan prinsip
Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat sistem Raja Berperlembagaan dan
sistem Demokrasi Berparlimen serta amalan demokrasi negara ini.



0 orang berkata:
Post a Comment