8/06/14
Kes buli paksa bogel pelajar selesai

SERDANG – Kes buli membabitkan 10
pelajar senior dan tujuh pelajar junior Universiti Putra Malaysia (UPM)
Khamis lalu dianggap selesai selepas kedua-dua pihak bertemu dan memohon
maaf atas kesalahan dilakukan.
Difahamkan, pelajar junior berkenaan
membuat laporan di Balai Polis Serdang mendakwa mereka dipaksa berbogel
dan menghisap rokok jika tidak mahu diapa-apakan.
Insiden itu dilapor turut dirakam pelajar senior menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal
Pelajar dan Alumni) UPM, Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kesemua
pelajar yang terbabit sudah berbincang dan bersetuju memaafkan satu sama
lain.
Ibu bapa pelajar juga sudah dipanggil
dan dijelaskan mengenai apa yang berlaku. Satu perjumpaan lagi akan
diadakan hari ini antara Persatuan Hindu UPM dengan ibu bapa pelajar
terlibat.
Beliau menafikan wujud kejadian
‘ragging’ memaksa pelajar junior berbogel dan menghisap rokok. Ketika
mengulas kejadian itu, beliau turut menafikan pembabitan pelajar wanita
dalam insiden yang didakwa sengaja menjatuhkan maruah mangsa.
Menurutnya, pelajar senior yang terbabit
dalam kejadian itu diberi surat amaran kerana melanggar peraturan
ditetapkan universiti.
UPM membuat ketetapan tidak membenarkan
mana-mana pelajar senior untuk dekati pelajar junior sebagai langkah
pencegahan mengelak kes seperti itu berlaku.
Mohammad Shatar berkata, pihaknya memberi jaminan perkara itu tidak akan berlaku di bawah pengawasan pihaknya.
“Jika ada terima laporan, perkara itu
akan dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib, tindakan kemudian diambil
mengikut prosedur,” katanya.
Beliau berkata, jawatankuasa akan bersidang, menilai dan menyiasat kes, jika ada bukti kesemua pihak akan dipanggil.
Tindakan diambil bergantung kepada
keadaan dan maklumat diperoleh, pelajar yang lakukan kesalahan mungkin
diberi surat peringatan, amaran, digantung atau dibuang terus daripada
universiti.
“Namun dalam kes ini kedua-dua pihak dah
selesaikan di peringkat awal, mangsa tidak membuat aduan kepada pihak
universiti malah mangsa juga memberitahu apa yang dilapor dalam sebuah
akhbar berbahasa Tamil itu banyak yang tidak benar,” katanya.
Laporan terperinci mengenai kejadian itu jelasnya sudah diserahkan kepada kementerian untuk tindakan selanjutnya.
“UPM tidak terima laporan daripada
mangsa sebelum ini, hanya tahu mengenainya daripada pihak luar dan
berdasarkan laporan polis dibuat tapi kita sudah temui semua yang
terlibat untuk dapat gambaran jelas mengenainya,” katanya.
Kelmarin, umum gempar apabila sebuah
akhbar Tamil melaporkan tujuh pelajar UPM mendakwa mereka dibuli pelajar
senior melakukan perkara tidak senonoh sehingga menjatuhkan maruah di
sebuah bilik di asrama universiti itu Khamis lalu.
Pelajar itu mendakwa mereka hanya dibenar memakai seluar dalam, memegang kemaluan sambil menari mengikut rentak muzik.
Tujuh pelajar malang tersebut mendakwa
trauma bertemu pelajar senior selepas turut dipaksa menghisap rokok jika
tidak mahu dipengapa-apakan.- SH


0 orang berkata:
Post a Comment