• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor dijangka menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk mendapat perkenan baginda berhubung tindakan lanjut ke atas naskhah Bible yang dirampas Januari lepas.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan membuat kenyataan rasmi berhubung status Bible itu selepas keputusan mengenainya diperkenankan baginda.

"Saya akan bertemu dengan exco (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor) petang ini untuk membincangkan isu tersebut. Jika ada ketetapan, saya akan menghadap Tuanku esok dan selepas itu baru kita akan buat pengumuman mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Khamis lepas, Abdul Khalid dalam satu kenyataan mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memulangkan semua kitab tersebut kepada Persatuan Bible Malaysia (BSM).

Arahan itu dibuat berikutan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patailmemaklumkan tidak ada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes rampasan Bible dan kes itu ditutup.

Abdul Gani berkata naskhah Bible yang dirampas itu adalah himpunan buku Taurat, Zabur dan Injil yang merupakan buku asas penganut agama Kristian.

Bagaimanapun Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata Bible tersebut tidakakan dipulangkan kerana ia telah disita untuk disiasat mengikut Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata melalui pertemuan esok bersama Sultan Selangor, pihaknya juga akan mencadangkan beberapa opsyen termasuk mengekalkan keputusan kerajaan negeri yang mahu naskhah Bible berkenaan dikembalikan kepada BSM.

"Saya akan memberikan beberapa opsyen kepada Tuanku mengenai perkara ini...pada kita opsyen ini sudah tentulah pulangkan (Bible) tetapi ada lagi opsyen lain yang perlu diutarakan (kepada Tuanku)," katanya.

Pada 2 Januari lepas, Jais menyerbu pejabat BSM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 kitab Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah, 'ALLAH' dalam Bible yang didakwanya bercanggah dengan Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam)1988. - Bernama