• Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM –Calon Timbalan Presiden PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga Menteri Besar Selangor menerima keputusan Lembaga Disiplin parti itu yang mengenakan tindakan disiplin kepada dua orang kuatnya.

Setiausaha Politiknya, Mustapha Mohd Talib digantung keahlian selama setahun dengan serta-merta selepas dituduh mengugut seorang calon untuk tidak meneruskan niat bertanding dalam pemilihan kali ini.

Sementara, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Pelabuhan Klang, Faekah Hussein yang juga bekas setiausaha politik Abdul Khalid dikenakan surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin parti itu, hari ini, ekoran memberi kenyataan media berhubung jawatan Menteri Besar.

“Tak apa kalau itu keputusan Lembaga Disiplin. Kita tak boleh nak....ya kita mesti menerima dam mereka berhak untuk membuat permohonan untuk rayuan.

“Dalam parti kita mempunyai proses-proses rayuan daripada keputusan-keputusan yang telah dibuat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam kes sama, dua lagi ahli PKR, Shamsul Iskandar Md Akin dan Amiruddin Shari dikenakan surat tunjuk sebab ekoran mengeluarkan kenyataan di media berhubung pertukaran Menteri Besar Selangor.

Shamsul mendesak secara terbuka pengunduran segera Abdul Khalid daripada jawatan Menteri Besar gara-gara gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kuala Selangor.

Aminuddin menyokong kenyataan Shamsul tersebut namun dibidas Faekah kerana dikatakan tidak akur dengan arahan Ketua Umum Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa pemimpin PKR berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan berhubung jawatan Menteri Besar Selangor.