• Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
SHAH ALAM - Kurang 24 jam selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor itu diingatkan sekali lagi bahawa peralihan kerusi panas itu adalah kesinambungan daripada Langkah Kajang pada Mac lalu.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pertukaran menteri besar baharu itu telah dimuktamadkan pimpinan parti itu sejak 15 Januari lalu dan Abdul Khalid telah pun dimaklumkan sebelum itu.

"Abdul Khalid sendiri telah dimaklumkan semenjak Mac 2014 dan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah pun dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) minggu lalu.

"Saya percaya semangat muafakat dalam PR akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat," katanya dalam satu kenyataan medianya, semalam.

Jumaat lalu, Abdul Hadi berkata, jawatan Abdul Khalid perlu kekal berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Abdul Hadi juga dilaporkan sebagai menyebut semua pimpinan Pas akan bersama dengan keputusan itu walaupun wujud perbezaan pandangan.

Rabu lalu, mesyuarat Majlis Pimpinan PR memutuskan menerima cadangan PKR untuk mencalonkan Wan Azizah sebagai pengganti Abdul Khalid.