• Dr Jeniri AmirDr Jeniri Amir
 1 / 1 
SHAH ALAM –  Kemelut terkini dihadapi PR dalam isu kerusi Menteri Besar Selangor perlu diselesaikan segera, kata Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir.

Katanya, jika dibiarkan berlarutan terlalu lama, PR bakal berdepan risiko kehilangan Selangor seperti mana krisis yang melanda negeri ditadbir mereka, Kedah, satu masa lalu.

Beliau berkata, PR sepatutnya menjadikan isu itu pengajaran dan tidak mengulangi kesilapan sama, sehingga menggambarkan pimpinan tertinggi parti tiada kesepakatan dan tidak mampu menangani krisis dalaman mereka.

“Ini beri gambaran yang amat buruk kepada rakyat, bukan sahaja di Selangor, malah seluruh negara terhadap keupayaan PR yang dikatakan menjadi pengganti BN di masa hadapan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, lebih membimbangkan jika lewat ditangani secara bijaksana dalam waktu terdekat akan menimbulkan keretakan yang amat besar dan mungkin kesudahannya berlaku perpecahan komponen PR.

“Saya fikir mereka tidak harus membiarkan isu ini terlalu lama. Mereka perlu belajar dengan  kegagalan urus tadbir di Kedah yang akhirnya terlepas kerana rakyat kecewa.

“Jangan hairan hal ini juga berlaku di Selangor dan pentadbiran negeri bakal kembali semula akan kepada BN,” katanya.

Bagaimanapun, katanya itu terpulang kepada kepimpinan parti menyelesaikan segera konflik tersebut.