• Gambar pertemuan antara Abdul Khalid dan Hadi di kediaman menteri besar cetus spekulasi. Gambar pertemuan antara Abdul Khalid dan Hadi di kediaman menteri besar cetus spekulasi.
1 / 1

SHAH ALAM - Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sekali lagi menegaskan akan mempertahankan jawatan Menteri Besar Selangor sehingga PRU14 akan datang.

Menurutnya, ia janji beliau kepada rakyat Selangor semasa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar selepas PRU13 lalu.

“Ini Ramadan. Saya rasa saya telah nyatakan saya akan mempertahankan jawatan dan ini janji saya kepada rakyat. Saya telah angkat sumpah dan ambil tanggungjawab untuk uruskan serta memperbetulkan negeri, “ katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Exco,
semalam.

Beliau juga sedia berdepan tekanan dalam parti dalam mempertahankan kedudukan sebagai orang nombor satu negeri.

“Saya dah biasa (tekanan) jadi saya akan teruskan usaha saya,” katanya.

Sementara itu, beliau enggan mengulas ketika ditanya berhubung pandangan pemimpin Umno-BN bahawa wanita tidak boleh menjadi Menteri Besar.

“Saya tak perlu komen nanti lagi susah,” katanya.

Sebelum ini, Abdul Khalid berdepan tekanan hebat daripada pimpinan PKR yang mahukan beliau melepaskan jawatan, malah beberapa pimpinan Pas turut menyuarakan pandangan sama.

Desakan lepas jawatan itu timbul apabila Abdul Khalid dikatakan mengetepikan pandangan Adun semasa membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan negeri antaranya isu penstrukturan semula industri air negeri dan lain-lain.

Sementara itu, Pas Selangor menafikan dakwaan pertemuan antara Abdul Khalid dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah untuk membawa masuk Abdul Khalid dalam Pas.

Gambar Abdul Khalid bersama Hadi dan Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dimuat naik Khalid di laman Facebook miliknya baru-baru ini, menimbulkan spekulasi beliau akan menyertai Pas.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, Pas Selangor tidak dimaklumkan hasil keputusan pertemuan tersebut.

“Tetapi kami akan patuh kepada apa saja keputusan Pas Pusat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Khalid Samad menjelaskan, pertemuan empat mata antara Presiden Pas dan Abdul Khalid hanyalah perjumpaan biasa dan perkara ini disahkan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang turut hadir ke kediaman
Abdul Khalid.

“Abdul Khalid jemput mereka ke rumah dan kebetulan Abdul Hadi ada di Kuala Lumpur dan kehadiran mereka ke kediamannya hanyalah memenuhi jemputan. Isu yang kaitkan Menteri Besar masuk Pas, tak timbul,” katanya.

Sebelum ini Abdul Khalid turut menafikan desas-desus beliau mengadakan perbincangan dengan Presiden Pas untuk menyertai parti itu selepas penyebaran gambar pertemuan tersebut di laman Facebook miliknya. 

Semalam, Sekretariat Majlis Setiausaha Agung Pakatan Rakyat Datuk Mustafa Ali menjelaskan, nasib Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin akan ditentukan dalam majlis presiden Pakatan Rakyat (PR) yang dijangka akan bermesyuarat sebelum Hari
Raya Aidilfitri hujung bulan ini.