•  Rafizi Ramli Rafizi Ramli
1 / 1
PETALING JAYA - Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menafikan beliau terlibat dengan komplot menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) berhubung pertukaran isu Menteri Besar Selangor.

Malah beliau juga mendakwa taktik itu dilakukan oleh 'lawan politik' mereka yang dipercayai merujuk kepada Umno.

Rafizi menjelaskan, beliau perlu mengambil masa untuk menyemak segala kenyataan dan laporan polis yang dibuat dan hampir kesemuanya dilakukan oleh mereka yang bukan ahli parti itu.

"Ini adalah jalan biasa yang digunakan lawan politik kami, maknanya kalau ada apa-apa isu mereka akan gunakan individu yang tidak dikenali untuk buat laporan polis. Jadi tidak perlulah saya layan kerana itu adalah permainan biasa lawan politik kami," katanya sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, satu laporan polis telah dibuat oleh sebuah NGO iaitu Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) terhadap beberapa pemimpin tertinggi PKR yang dipercayai mempunyai kaitan dalam penyebaran berita palsu peletakan jawatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahli Jawatankuasa Pasmeb, Wan Adnan W Ab Rahman berkata, beliau menamakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani, Adun Batu Caves Amirudin Shari dan Adun Seri Muda Shuhami Shafie sebagai dalang di sebalik penyebaran berita palsu itu.