• Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine
1 / 1
SEPANG - [VIDEO] Kerajaan Malaysia masih belum menerima laporan rasmi daripada pihak berkuasa Ukraine berhubung penemuan kotak hitam MH17 yang kini heboh dilaporkan media asing.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kawasan kejadian turut dijaga dengan baik oleh Ukraine yang bertanggungjawab menyiasat kejadian tersebut.

"Saya dengar tentang perkara itu tapi ia tak disahkan lagi. Kita juga belum terima laporan rasmi dari pihak berkuasa Ukraine.

"Saya telah menekankan bahawa kawasan tersebut perlu dijaga dengan baik dan sekiranya kita dapat cari kotak hitam, maka pihak berkuasa Ukraine yang merupakan pihak berkuasa yang menyiasat perlu memastikan semua kesan-kesan dapat dijaga dengan baik," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak berkuasa Ukraine turut bersetuju untuk memastikan bahawa siasatan akan dilaksanakan dengan segera.

Dalam sidang media sama, Tiong Lai turut menjelaskan berhubung laluan yang digunakan pesawat malang terbabit meskipun pesawat lain dilaporkan telah menjauhi laluan tersebut ekoran konflik yang tercetus di kawasan itu.

"Saya nak tekankan di sini bahawa laluan itu telah dilalui berpuluh tahun oleh MAS dan banyak lagi syarikat penerbangan. 15 daripada 16 negara Asia Pasifik menggunakan laluan itu.

"Memang itu laluan yang telah ditentukan. Tidak ada apa-apa yang dimaklumkan kepada kita bahawa laluan itu tidak boleh dilalui," katanya.

Beliau juga turut menegaskan tiada arahan saat akhir dikeluarkan kepada kapten penerbangan MH17, Wan Ahmad Wan Hussin untuk mengubah haluan.