• Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu. - Foto ihsan Twitter Marina Mahathir  
  • Dr Kassim Ahmad dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah di Putrajaya, hari ini terhadap dua pertuduhan melakukan kesalahan menghina Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dua bulan lalu. - Foto ihsan Twitter Marina Mahathir
1 / 1
KUALA LUMPUR - Mahkamah tinggi di sini, semalam, menolak permohonan yang difailkan bekas aktivis politik, Dr Kassim Ahmad yang memohon semakan kehakiman atas tindakan Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) mendakwanya terhadap dua tuduhan menghina agama Islam dan pihak mengingkari berkuasa agama, tiga bulan lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Zaleha Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas membenarkan bantahan awal Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan atas alasan mahkamah itu tidak mempunyai bidang kuasa memutuskan perkara itu yang mempunyai kuasa eksklusif mahkamah agama.

Ketika membuat keputusan berkenaan, Zaleha berkata, mahkamah itu terikat dengan keputusan mahkamah persekutuan baru-baru ini dalam kes Siti Hasnah Vangarama Abdullah iaitu mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa dalam perkara yang berkaitan dengan Islam.

Hakim Zaleha juga memutuskan bahawa kes Kassim adalah berbeza daripada kes pengurus kedai buku Border, Nik Raina Nik Abdul Aziz.

Zaleha berkata, walaupun Nik Raina didakwa di bawah majlis fatwa, perkara tersebut turut berkaitan dengan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984, kerana buku tulisan Irshad Manji belum diharamkan ketika serbuan dibuat.

Sementara itu, peguam Rosli Dahlan dan Abdullah Khubayb yang mewakili Kassim, akan memfailkan rayuan dan juga permohonan penangguhan berikutan keputusan hari ini.

Ini berikutan kes Kassim itu akan didengar oleh Mahkamah Tinggi Syariah Putrajaya pada hari Khamis ini.