• Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine Pesawat penumpang Malaysia terhempas di Ukraine
1 / 1
KUALA LUMPUR - Tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas di Ukraine semalam, tidak sepatutnya mengalih perhatian dunia terhadap isu kezaliman dan serangan rejim zionis Israel ke atas Gaza yang semakin buruk sekarang, kata seorang ahli akademik.

Pensyarah Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata, Malaysia tidak perlu gentar untuk terus bersuara dan menjuarai isu-isu antarabangsa khususnya penindasan dan penderitaan rakyat Palestin.

"Keganasan Israel di Gaza yang menjadi isu besar dunia tidak harus dipesongkan daripada pandangan Malaysia dan juga dunia kerana memberi tumpuan kepada nahas MH17.

"Malaysia perlu terus bersuara untuk masyarakat dunia dan perlu terus mengecam kezaliman. Kejayaan Malaysia dalam menggerakkan keamanan di Bosnia dan di Filipina, mungkin dicemburui oleh pihak tertentu yang mempunyai pengaruh keganasan merentas sempadan," katanya kepada Bernama.

Serangan berterusan Israel terhadap Gaza sejak 7 Julai setakat ini telah mengorbankan 240 rakyat Palestin termasuk kanak-kanak dan wanita serta lebih 1,500 orang mengalami kecederaan. Terkini, Israel dilaporkan melancarkan serangan darat secara besar-besaran dan serangan tentera laut di sepanjang sempadan Gaza.  

Malaysia sebelum ini berulang kali membuat saranan terbuka supaya Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bertindak terhadap Israel.

Pada Isnin lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan kepada Ketua Biro Politik Hamas Khalid Meshaal bahawa Malaysia bersedia mengembleng misi bantuan kemanusiaan termasuk daripada segi bantuan makanan dan perubatan ke Gaza.

Md Shukri berharap agar tiada pihak yang berkomplot membina isu untuk mengalihkan kekejaman rejim zionis Israel di Gaza dengan melakukan tindakan kejam menembak jatuh pesawat awam semata-mata untuk tujuan politik antarabangsa.

Pesawat Boeing 777 yang membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Ukraine berhampiran sempadan Rusia, malam tadi (waktu Malaysia).

Pesawat itu dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.    
Media asing melaporkan penerbangan MH17 telah "ditembak jatuh" semasa terbang pada ketinggian 10,000 meter dan terhempas. Perdana Menteri pada sidang media awal hari ini berkata pihak berkuasa Ukraine percaya pesawat Boeing 777 itu telah ditembak. - Bernama