• Vladimir Putin
1 / 1
MOSCOW - RUSIA . Presiden Rusia, Vladimir Putin berjanji akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselamatan pasukan penyiasat antarabangsa bagi nahas MH17 dan untuk menjamin koridor kemanusiaan yang diperlukan bagi pasukan itu menjalankan kerja-kerja mereka.

Dalam kenyataan video yang dikeluarkan oleh  Rusia awal pagi semalam, Putin menegaskan penting untuk penyiasat antarabangsa diberikan akses selamat ke tapak nahas pesawat MH17 di Ukraine.

Beliau turut berjanji Rusia akan melakukan segala yang mungkin untuk menyelesaikan konflik Ukraine susulan tembakan pesawat MAS itu, minggu lalu.

"Rusia akan melakukan segala-galanya dalam kuasa kami supaya konflik di timur Ukraine bertukar daripada fasa ketenteraan sekarang ini kepada fasa rundingan melalui cara aman dan diplomatik," menurutnya.

Putin kemudian mengulangi dakwaannya bahawa nahas itu tidak mungkin berlaku jika Kiev tidak menggunakan operasi ketenteraan terhadap puak pemisah pro-Rusia di timur Ukraine.

"Kita boleh katakan dengan kepastian bahawa jika serangan ketenteraan di timur Ukraine tidak disambung semula pada 28 Jun, tragedi ini besar kemungkinan tidak akan berlaku.

"Dengan itu, tiada siapa yang mempunyai hak untuk menggunakan tragedi ini untuk matlamat politik sempit dan pentingkan diri mereka," katanya.

Dalam pada itu, pemimpin Barat sebelum ini menuntut Putin menggunakan pengaruhnya untuk memujuk pemberontak yang mengawal tapak nahas di timur Ukraine supaya menyerahkan mayat 298 mangsa nahas itu dan memberikan penyiasat antarabangsa akses penuh ke tapak nahas.

Tanpa menjanjikan sebarang langkah konkrit daripada Moscow, Putin berkata apa sahaja perlu dilakukan untuk memastikan keselamatan pasukan penyiasat dan untuk menjamin koridor kemanusiaan yang diperlukan bagi pasukan itu menjalankan kerja-kerja mereka.

Ukraine sebelum ini mendakwa pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh menggunakan peluru darat ke udara menggunakan sistem yang dibawa ke timur Ukraine dari Rusia, manakala Amerika Syarikat juga turut menuding jari kepada Rusia.

Sementara itu, Presiden Ukraine, Petro Poroshenko semalam berkata, beliau telah mengarahkan pasukan keselamatan negara itu untuk menghentikan serangan dalam lingkungan 40 kilometer daripada kawasan nahas itu.

"Saya telah memberikan arahan, askar Ukraine tidak boleh melakukan apa-apa operasi atau membuat serangan dalam lingkungan 40 kilometer dari kawasan nahas secara serta-merta," katanya.

Namun, selepas arahan itu dikeluarkan, serangan ke atas bandar Donetsk kira-kira 70 kilometer dari kawasan nahas dilaporkan berterusan.

Jurucakap Majlis Keselematan Ukraine Andrey Lysenko bagaimanapun mendakwa askar Ukraine sama sekali tidak bertanggungjawab terhadap letupan yang berlaku di bandar itu.