• Abby dalam rancangannya mengutuk White House yang terus-terusan menyokong keganasan Israel terhadap Gaza. Abby dalam rancangannya mengutuk White House yang terus-terusan menyokong keganasan Israel terhadap Gaza.
1 / 1
SHAH ALAM – Bukan semua menyokong tindakan Amerika Syarikat (AS) yang memberikan sokongan ke atas keganasan yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin.

Seorang wartawan sebuah stesen televisyen RT, Abby Martin mengecam dan mengutuk keras tindakan AS yang menyebelahi Israel yang melancarkan perang ke atas Gaza dan Tebing Barat sehingga mengorbankan ratusan nyawa penduduk yang tidak berdosa termasuklah wanita dan kanak-kanak.

Abby dalam sebuah program televisyennya berkata, dalam 24 jam terakhir, tentera Israel telah membuat serangan udara ke atas 160 kawasan di Gaza dan menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), secara keseluruhannya, sebanyak 560 kawasan di tanah Gaza telah dibom oleh rejim Israel.

“Kita sedia maklum bahawa Gaza adalah antara kawasan yang paling padat di bumi dengan lebih 1 juta penduduk, sebarang serangan udara hampir pasti akan membunuh orang awam.

“Mengikut Menteri Perumahan dan Kerja Raya, sekurang-kurangnya 50 perumahan telah dimusnahkan buah masa ini manakala 1,700 rumah lagi dilaporkan rosak,” katanya.

Menerusi programnya, Abby memuatnaik kenyataan terdahulu oleh Setiausaha Media White House, Josh Earnest yang dikatakan mengutuk Palestin dan menyatakan sokongan berterusan terhadap keganasan yang dilakukan ke atas Gaza.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya serangan roket berterusan ke atas Israel, dan dengan sengaja mensasarkan serangan kepada orang awam oleh sebuah organisasi pemberontak dari Gaza.

“Tidak ada negara yang boleh menerima roket yang disasarkan kepada orang awam, kami beri sokongan kepada Israel untuk mempertahankan negara mereka daripasda serangan ganas ini.

“Pada waktu yang sama, kami menghargai panggilan secara terbuka yang dibuat oleh Presiden Netanyahu untuk bertindak secara bertanggungjawab,” kata Earnest melalui kenyataan yang dibuat dalam sebuah sidang media.

Melalui kenyataan tersebut, Abby mempersoalkan integriti Israel yang kononnya telah bertindak secara bertanggungjawab dengan menghantar serangan roket ke arah penduduk di bumi Palestin.

“Jadi kerajaan AS boleh terus mengatakan hak Israel untuk mempertahankan negara, tapi lihatlah peningkatan jumlah korban di Gaza, di mana tiada seorang pun warga Israel yang terkorban dari serangan roket Hamas.

“Adakah merobohkan rumah, membuat tangkapan besar-besaran dan mengebom orang awam dikatakan sebagai ‘bertindak secra bertanggungjawab? Saya harus fikirkan berapa ramai pula orang yang akan mati demi mentakrifkan ‘tindakan yang tidak bertanggungjawab,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Abby Martin melalui sebuah status yang dimuat naik melalui Facebook dan Twitternya hari ini mengatakan dia telah menerima laporan makluman bahawa seseorang yang tidak dikenali dengan alamat IP dari White House, Washington cuba menggodam laman Wikipedianya dan  menggelarkannya sebagai ‘penyebar propaganda Russia’.

Dia percaya penggodaman itu berlaku susulan dari penyebaran slot programnya yang mengutuk kerajaan AS secara terang-terangan melalui stesen televisyennya.