• UM tidak menjawab isu pemecatan
1 / 1
SHAH ALAM – Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa kenyataan media Universiti Malaya (UM) semalam tidak menjawab isu pemecatan Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMcedel).

Katanya kenyataan itu secara tidak langsung hanya mengiktiraf kualiti kajian dan penyelidikan yang dihasilkan Mohammad Redzuan sepanjang perkhidmatannya di universiti terkemuka di Asia itu.

“Kenyataan media UM secara tak langsung iktiraf kualiti Prof Redzuan; cuma tak jawab isu jawatan Pengarah Umcedel,” katanya di akaun Twitternya, hari ini.

Dalam kenyataan media itu semalam, UM menafikan dakwaan dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS) disingkirkan kerana wujudnya campur tangan politik. ‎

Menurut kenyataan itu, tempoh perkhidmatan Mohammad Redzuan tidak dilanjutkan selepas melalui proses pengundian yang telus mengikut Perlembagaan Universiti Malaya 2010.

Kesal dengan tindakan itu, Saifuddin juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai felo penyelidik kanan di fakulti sama, Universiti Malaya berkuatkuasa serta-merta.

Perkara ini telah diumumkan oleh beliau sendiri di dalam Facebook miliknya pada jam 11 pagi, semalam.