'Saya tiba-tiba jadi selebriti' SHAH ALAM - Selepas menjadi sasaran kritikan banyak pihak gara-gara paparan skrin mesej perbincangan kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat yang bocor kepada umum, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki akhirnya buka mulut.
Akui tidak mahu ke depan pada awalnya, beliau akhirnya terpaksa akur untuk tampil memberikan penjelasan.

Menurut Dr Zuhdi, apa yang tersebar hanyalah senario yang difikirkan mungkin berlaku sekiranya Pas keluar dari PR.

"Apa yang saya nyatakan itu tidak lahir daripada diri saya kerana saya bukan salah seorang yang menyokong usul untuk keluar dari PR dalam perbincangan itu. Yang memberi usul itu orang lain... yang menyokong orang lain.

"Cuma saya memberikan beberapa senario yang boleh berlaku. Sekiranya kita keluar apa yang berlaku," katanya ketika berucap pada Majlis Solat Hajat Perdana 'Munajat Selamatkan Gaza dan Selangor Bumi Bertuah', malam tadi.

Menurutnya, sejak namanya menjadi 'selebriti' segera, segala tingkah lakunya mendapat perhatian.

"Tapi apabila dibocorkan perbincangan itu, saya tiba-tiba jadi selebriti. Sampaikan isi Facebook saya pun dikeluarkan.

"Bak kata orang, kalau saya berdehem, orang akan tanya, dehem saya itu untuk Tan Sri Khalid ke untuk Datuk Seri Anwar?," katanya berseloroh.


Bulan lalu, sebuah paparan skrin mesej perbincangan kumpulan WhatsApp AJK Pas Pusat mengenai isu di Selangor tersebar luas melalui pelbagai aplikasi media massa.

Dalam paparan itu, terdapat analisis yang dikatakan daripada Dr Zuhdi yang berpendapat Pas masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama dengan Umno.