• Iskandar Abdul Samad Iskandar Abdul Samad
1 / 1
SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad memberitahu pihaknya belum mengadakan sebarang mesyuarat berhubung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

“Hal ini akan dibincangkan di peringkat Pusat dan mereka akan minta pandangan kami.

“Kami belum mesyuarat lagi. Saya tak boleh dedahkan sebelum mesyuarat,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor, hari ini.

Sultan Selangor semalam bertitah, PR hendaklah menghantar lebih daripada dua nama bagi calon jawatan menteri besar supaya baginda boleh menentukan calon yang difikirkan layak.

Sementara itu, Iskandar turut memaklumkan, Pas Pusat bakal mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan perihal calon Menteri Besar Selangor yang baharu selepas Sultan Selangor menitahkan agar lebih daripada dua nama dikemukakan.

Namun menurutnya tarikh mesyuarat belum diputuskan lagi memandangkan pihaknya belum menerima surat makluman daripada istana Selangor.

“Tak tahu bila surat istana akan beri kepada parti. Saya difahamkan ada ‘deadline’, jadi, sudah tentu (mesyuarat) sebelum ‘deadline’,” katanya kepada pemberita pada sidang media, hari ini.

Ketika ditanya sama ada Pas Selangor bakal mengemukakan nama calon kepada Pas Pusat, Iskandar berkata perkara itu masih belum dibincangkan.

Media rasmi Pas yang memetik Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali pula berkata, Pas Pusat akan mengadakan "perbincangan tak rasmi" untuk mendapatkan pandangan ahli memandangkan pihaknya sudah mendapat gambaran dalam mesyuarat Pas Pusat sebelum ini.

Pas katanya akur dengan titah sultan untuk menamakan lebih daripada dua nama sebagai calon bagi jawatan itu.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid ketika ditanya soal tarikh akhir mengemukakan nama calon itu mengakui tidak tahu tentang perkara berkenaan.

“Oh saya tak tahu. Saya difahamkan surat itu dihantar pada hari ini.

“Saya berharap, pihak istana tidak menghantar salinan kepada saya. Itu saja. supaya saya tidak menjadi pemegang maklumat,” katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, Iskandar sempat menafikan desas-desus yang menyebut namanya sebagai calon menteri besar yang baru.

“Saya tak tahu. Itu anda yang cakap. Saya tak tahu,” katanya ringkas.