• Isu MB Selangor
1 / 1
KUALA LUMPUR - Kemelut politik di Selangor yang memasuki fasa baharu hari ini memperlihatkan PKR, Pas dan DAP  diberi peluang yang adil bagi mencalonkan lebih daripada dua nama untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor sebagai Menteri Besar yang baharu.

Perkembangan ini menurut beberapa penganalisis politik adalah satu keputusan bijak yang mampu meredakan ketegangan politik yang berlaku di Selangor pada ketika ini.

Mereka berpandangan bahawa ini adalah ujian 'getir' kepada parti pakatan untuk mencari persefahaman, toleransi dan permuafakatan apabila setiap parti 'diwajibkan' mencalonkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) masing-masing sebagai calon menteri besar.
    
Akur titah Sultan
  
Prof Madya Mohd Izani Mohd Zain daripada Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan setiap parti mencadangkan lebih daripada dua nama itu hendaklah dipatuhi.
"Kita kena faham bahawa Sultan ada kuasa mutlak dalam memilih Menteri Besar dan sepatutnya daripada dahulu lagi Pakatan Rakyat memberi lebih daripada satu nama untuk memudahkan Sultan memberi perkenan.   
"Jika Pakatan Rakyat ingin menyelesaikan krisis Menteri Besar ini dengan cepat dan tidak mahu memberi kesan yang buruk kepada rakyat Selangor, mereka perlu segera mengemukakan nama Adun mereka untuk dipilih sebagai Menteri Besar," katanya kepada Bernama di sini.
  
Beliau berkata PKR seharusnya tidak memuktamadkan dan hanya menetapkan nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar untuk dipersembahkan kepada Sultan Selangor.
  
"Sekiranya PKR masih berdegil dan hanya mahukan Dr Wan Azizah sebagai calon tunggal parti itu untuk dipilih sebagai Menteri Besar, ini menunjukkan bahawa mereka hanya nak krisis ini berlanjutan tanpa noktah penamat," katanya.
    
Pas perlu kemukan calon
  
Berdasarkan konsensus bersama gabungan pakatan sebelum ini, kerusi Menteri Besar Selangor diberikan kepada PKR manakala Kelantan ditadbir Pas dan Pulau Pinang oleh DAP.    

Persoalannya, sanggupkah Pas mencalonkan nama Adun mereka sebagai Menteri Besar dan sekali gus membelakangkan konsensus gabungan parti PKR-DAP-Pas? 

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain berpendapat bahawa Pas wajib akur titah Sultan yang mahukan setiap parti berkenaan mengemukakan calon mereka sebagai Menteri Besar.
  
"Pas sepatutnya tidak tunduk kepada tekanan PKR atau DAP. Ini soal menjunjung titah Tuanku Sultan dan oleh itu mahu tidak mahu mereka perlu mengemukakan nama Adun mereka kepada Tuanku Sultan.
  
"Jika tidak, mereka boleh dianggap derhaka. Tuanku Sultan bertindak begini pada pandangan saya sebab Pakatan Rakyat tidak bersatu di mana Pas dalam kenyataan terbaharu menerima sesiapa sahaja yang diperkenan Sultan Selangor sebagai Menteri Besar, manakala PKR pula hanya mahukan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar. Ini yang menimbulkan kecelaruan," katanya. 
  
Pelantikan seorang Menteri Besar di Selangor terletak di bawah kuasa Sultan sebagaimana termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.    

Menurut Perkara 55 (2) (a) undang-undang itu, dinyatakan baginda boleh menggunakan budi bicara dalam pelantikan seorang Menteri Besar. - Bernama