PUTRAJAYA - Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim mengakui terdapat campur tangan kerajaan dalam siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyaluran wang RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) turut menyifatkan campur tangan itu berlaku pada masa yang tidak sesuai.

"Kes ini dikaitkan dengan kebocoran maklumat. Di mana penjawat awam tidak boleh membocorkan sebarang maklumat kerajaan atau mereka akan ditangkap.

"Tapi kita tidak boleh menghalang mereka untuk mendesak kerajaan supaya tidak campur tangan. Saya kata kepada kerajaan, tiada lagi campur tangan," katanya ketika menjadi ahli panel dalam forum sempena Persidangan Anti Rasuah Antarabangsa (IACC), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan bekas Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang turut hadir dalam forum tersebut.

Sementara itu, Aziz dalam ucapannya sebelum itu memuji pentadbiran Najib yang disifatkannya lebih baik daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, Najib memberi lebih banyak ruang kebebasan berbanding Dr Mahathir yang menggunakan pendekatan menekan rakyat dan mengharamkan demonstrasi.

"Ketika anda (peserta IACC) tiba (di Malaysia), anda melihat rakyat berdemonstrasi di jalanan. Ia tidak akan berlaku pada pemerintahan Mahathir.

"Ketika zaman Mahathir, akan ada meriam air dan polis ketika rusuhan. Bagi saya ia pencapaian besar bagi Najib," katanya.