Pegawai penyelaras haji Indonesia, Arsyad Hidayat berkata, sehingga kini pihaknya masih belum mengetahui nasib kesemua jemaah terbabit termasuk jumlah sebenar yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Kelmarin, wakil Duta Besar Indonesia di Arab Saudi, Sunarko memaklumkan seramai tiga rakyatnya terkorban dalam kejadian tersebut.

"Ada beberapa alasan jemaah belum kembali ke khemah masing-masing. Misalnya, ada di antara mereka sedang beribadah di Masjidil Haram, tersesat dan sebagainya," kata Arsyad.

Beliau memberitahu, ketika ini seramai enam jemaah haji Indonesia yang cedera dalam rempuhan berkenaan sedang dirawat di hospital dalam Makkah.

Kejadian rempuhan itu tercetus selepas ribuan jemaah berasak-asak di laluan yang menuju ke tempat melontar jamrah.

Setakat ini lebih 700 jemaah dilaporkan terkorban dan kira-kira 800 lagi cedera. - Kompas