KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia akan mengambil tindakan penguatkuasaan,
 atau dikenali sebagai tindakan pentadbiran, terhadap pihak yang didapati melanggar 
atau tidak mematuhi peraturan dan undang-undang di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan.

    
"Tindakan ini boleh diambil secara serentak, atau secara berasingan dan berbeza daripada,
 prosiding jenayah yang di bawah kuasa Peguam Negara sepenuhnya."
    
Bank pusat berkata demikian dalam satu kenyataan untuk menjelaskan mengenai
 kuasanya untuk menguatkuasa pematuhan terhadap undang-undang pengawalseliaan
 yang ditadbir BNM.
    
Oleh itu, berasingan daripada sebarang keputusan mengenai prosiding jenayah, bank
 pusat itu dibenarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan Akta Perkhidmatan
 Kewangan Islam 2013 untuk mengambil tindakan pentadbiran.
    
"Ini akan termasuk mengenakan penalti monetari, mengeluarkan arahan pematuhan, 
memberi bayaran balik (restitution) kepada mana-mana individu yang tidak berpuas hati 
disebabkan pelanggaran terhadap akta, memberi amaran awam dan persendirian serta arahan,
 supaya langkah-langkah diambil untuk mengurangkan atau menyelesaikan sesuatu 
pelanggaran terhadap akta.
    
"Ini bagi memastikan integriti, dan keyakinan terhadap sistem kewangan negara," 
menurut bank itu.
    
Pada 9 Oktober, BNM telah membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1Malaysia
 Development Bhd (1MDB) di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) untuk
 pelaburan di luar negeri yang bernilai AS$1.83 bilion.
    
Dalam kenyataan berkenaan, BNM berkata, ia juga telah mengeluarkan arahan di bawah 
Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 kepada 1MDB untuk membawa balik ke Malaysia
 jumlah itu dan mengemukakan kepada BNM perancangan syarikat berkaitann
perkara berkenaan.

Bank pusat merumuskan kebenaran yang diberikan di bawah ECA bagi pelaburan 1MDB 
di luar negeri adalah berdasarkan pendedahan maklumat relevan yang dikehendaki 
BNM semasa membuat penilaian terhadap permohonan 1MDB itu.
    
"Walau bagaimanapun, didapati bahawa maklumat yang diberikan adalah sama ada
 tidak tepat atau tidak lengkap".
    
Kenyataan BNM itu merujuk kepada keputusan Peguam Negara yang mendapati pegawai
 1MDB yang disiasat di bawah ECA tidak memberikan maklumat palsu dan
 membersihkannya daripada sebarang salah laku.
    
Menurut bank berkenaan, keputusan itu 'berkait dengan pengesyoran bank pusat untuk
 memulakan pendakwaan jenayah terhadap 1MDB atas pelanggaran ECA'. - Bernama