Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli menegaskan pihaknya masih belum mendapat sebarang pengesahan berhubung khabar angin tersebut dan beliau akan membawa isu itu ke dalam mesyuarat dalaman parti dalam masa terdekat.

“Saya tidak tahu dan saya tiada maklumat tetapi saya akan bawa perkara ini dalam mesyuarat dalaman kita untuk mendapatkan pengesahan daripada Menteri Besar sama ada kelulusan itu telah diberikan atau tidak,” katanya pada Forum Belanjawan 2016 bertajuk Mencetus atau Mengurus Krisis di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall, di sini, malam tadi.

Beliau mengulas dakwaan Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pembinaan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) sejauh 32 kilometer untuk menjadi laluan alternatif kepada Lebuhraya Jaringan Tengah II (MRR2) dari Sri Petaling ke Ulu Klang, melalui Sungai Besi, Cheras, Kajang dan Taman Putra Ampang.

Konsesi 60 tahun dianugerahkan kerajaan kepada syarikat Projek Lintasan Kota Holdings (Prolintas) dan ia dijangka dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas kritikal di beberapa lebuh raya utama di sekitar Lembah Klang.

Pembinaan lebuh raya itu sekali gus menjadi laluan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) khususnya di kawasan Ulu Klang, Ampang dan Pandan Indah.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, PKR konsisten tentang pembinaan mana-mana lebuh raya dan sistem bertol itu perlu menepati tiga syarat utama yang dirangka parti itu sejak 2011.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri juga perlu meluluskan pembinaan lebuh raya berdasarkan tiga syarat, antaranya syarikat konsesi perlu mendedahkan perjanjian konsesi tersebut.

“Syarat kedua ialah penilaian trafik mesti memenuhi peratusan tertentu daripada pengguna sama ada lebuh raya benar-benar memberi manfaat kepada pengguna dan setiap kesesakan.

“Ia juga perlu melihat kesan sosial daripada suasana tol, penilaian sama perlu dilakukan untuk memastikan ia memberi kesan kepada kawasan terlibat,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Selangor pernah mematuhi ketiga-tiga syarat tersebut ketika membatalkan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) pada Februari lalu.

“Sebagai wakil rasmi parti dan Ahli Parlimen, saya berkeyakinan bahawa pembinaan lebuhraya hanya diluluskan jika memenuhi tiga syarat itu.

“Pada asas itu juga keputusan kerajaan negeri Selangor yang membatalkan Kidex,” katanya lagi.