ALOR SETAR - Pas tidak perlu takut dengan perkembangan positif Parti Amanah
 Negara (Amanah) jika beranggapan ia bukan saingan dan ancaman kepadanya.

Timbalan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, 
sesiapa sahaja bebas menyertai Amanah berdasarkan amalan sistem demokrasi 
di negara ini.
“Mungkin sudah banyak kali diramalkan bahawa parti baharu tidak akan 
berpanjangan dan tidak menjadi ancaman kepada mereka (Pas).

“Saya fikir kalau ini bukan ancaman, maka Pas tidak perlu bimbang dengan
 perkembangan Amanah kerana saya melihat serangan yang dibuat agak teruk
 dengan pelbagai label,” katanya kepada media, hari ini.

Menurutnya, jika Pas mengakui Amanah bukan saingan mereka, maka 
biarlah parti Islam baharu itu berkembang tanpa sebarang gangguan.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa Himpunan Fastaqim
 di Kota Bharu, kelmarin, mengakui kewujudan Amanah bukan ancaman
 besar kepada Pas kerana sejarah membuktikan pada 1978, parti itu
 pernah berpecah sehingga sebahagian besar pimpinannya meletak 
jawatan dan kerajaan Kelantan tumbang.

Program yang dihadiri lebih 60,000 penyokong Pas dari seluruh negara 
itu diadakan bagi memupuk semangat istiqamah kepada ahli parti.
Mengulas mengenai program itu, Phahrolrazi menjelaskan bahawa Pas 
adalah sebuah parti yang berteraskan kepada ideologi doktrin.

“Menjadi kebiasaan untuk mereka mengadakan himpunan dari semasa ke
 semasa. Itu amalan biasa yang dilakukan Pas.

“Jika pertandingan pilihan raya berdasarkan himpunan teramai, maka Pas
 sudah menang dari sudut itu. Tetapi pilihan raya tidak berdasarkan 
kepada jumlah himpunan, ia berdasarkan jumlah undi,” katanya.

Pada perkembangan lain, Adun Pengkalan Kundor itu turut menegaskan
 bahawa tidak ada keperluan untuknya mengosongkan kerusi Dun yang 
dimenangi pada PRU13 lalu.

“Dari segi undang-undang tidak menghendaki saya mengosongkan 
kerusi jika berpindah kepada parti lain kecuali di Pulau Pinang sahaja 
yang perlu mengosongkan kerusi.

“Kita sudah beri banyak kali hujah mengenai tiada keperluan untuk 
berbuat demikian atas pertimbangan beberapa faktor penting,” katanya.
Ini kerana jika kerusi Dun dikosongkan ia sudah tentu perlu diadakan
 pilihan raya kecil (PRK) yang melibatkan pelbagai pihak dan kos tinggi.

“Rakyat beri mandat kepada kita dan ia berakhir sehingga Dun atau 
parlimen dibubarkan. Tetapi kalau kita melepaskan jawatan, 
bermakna kita menolak mandat yang diberikan rakyat.

“Ini bukan keputusan saya berseorangan, tetapi merupakan keputusan
 kolektif Amanah untuk tidak mengosongkan kerusi masing-masing,” 
katanya.

Phahrolrazi berkata, kemenangan mereka pada PRU13 lalu bukan mewakil
i Pas tetapi penyokong PR.

“Cuma PR tidak ada simbol tersendiri. Kalau ada simbol mungkin ia digunakan
 semasa pilihan raya.

“Ini hakikat yang perlu diterima kerana sebelum wujudnya PR, peluang untuk
 Pas menang sangat tipis berbanding hasil dalam pakatan yang dibentuk pada
 2008,” katanya.

Menurutnya, kemenangannya itu bukan atas sokongan ahli Pas sahaja tetapi
 melibatkan penyokong PKR dan DAP yang merupakan parti komponen dalam PR.