KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menafikan bahawa kerajaan telah membenarkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan Rang Undang-undang (RUU) hudud di Parlimen, semalam.

Beliau berkata, sebaliknya Abdul Hadi hanya membentangkan RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 bagi meningkatkan hukuman sedia ada.

"Ada salah faham yang besar bahawa bila Tuan Hj Hadi bawa RUU Persendirian itu, mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud.

"Abdul Hadi (sering) dilabel dan dikaitkan dengan hudud. Bila dia bangkit (bawa usul) saja, dianggap hudud. Pindaan tersebut bukan undang-undang hudud," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.‎

Beliau mengulas tindakan Timbalan Pengerusi MCA Kedah, Leong Yong Kong semalam yang bertindak keluar daripada parti itu.

Yong Kong yang juga Exco Kedah berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan tindakan kerajaan mengutamakan RUU yang dibawa Pas bagi membuka laluan kepada hudud.

Kerajaan kelmarin memberikan keutamaan untuk pindaan Akta 355 dibincangkan di Dewan Rakyat. Bagaimanapun Abdul Hadi memohon ia ditangguhkan ke sesi akan datang kerana kesuntukan masa.

Usul mempercepatkan perbahasan itu dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Mengulas lanjut, Najib juga berkata, pindaan RUU itu hanya melibatkan orang Islam dan ia tiada kena mengena dengan bukan Islam.

"Ia merupakan peningkatan hukuman daripada 6 kali rotan kepada beberapa kali, tertakluk kepada kesalahan tertentu.
"Cara sebatan dalam Islam pun tidak sampai nak mencedera atau melukakan. Kaedah hukuman terbatas dari segi cara nak mengenakan hukuman sebatan," jelasnya.

Bagaimanapun Najib menegaskan, pindaan itu tidak bermaksud ia mudah untuk dilaksanakan tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak lain.

"Ia memerlukan kebenaran dan kelulusan daripada Majlis Agama Islam peringkat negeri, Majlis Raja-Raja dan pindaan undang-undang oleh Parlimen.

"Sekiranya kita nak meminda undang-undang sebagai sebuah parti, tentu sekali kita terikat kepada konsensus dalam BN," katanya.

Ditanya tentang mesyuarat MT Umno membincangkan tentang nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir, beliau bagaimanapun berkata isu tersebut tidak dibincangkan.
"Tiada, tidak bincang kali ini," ulasnya.

Sementara itu, Najib memberitahu bahawa Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Muhammad Ibrahim telah membuat laporan polis terhadap akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

Ini berhubung surat yang diklasifikasikan sebagai sulit mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang kononnya dari Bank Negara kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Ariffin.

"Gabenor telah membuat laporan polis. Polis akan menyiasat," katanya lagi.