IPOH - Pemuda Pas Perak menyokong keputusan tegas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap individu yang bertindak biadab terhadap institusi diraja Perak.

Ketuanya, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan melucut keanggotaan taikun perniagaan, Koon Yew Yin di dalam Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak.

Beliau berkata, dakwaan rasuah berhubung amalan tersebut dalam pengurniaan darjah kebesaran oleh Almarhum Sultan Azlan Shah dan tuduhan berat wujud campur tangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dalam Majlis Penasihat Ekonomi Negeri oleh Yew Yin sangat serius kerana boleh mencemarkan institusi diraja Perak.

"Tindakan Koon Yew Yin dilihat sengaja membangkitkan rasa kebencian kepada rakyat terhadap sultan malahan seolah-olah mencabar kontrak sosial yang telah dimenterai dalam perlembagaan Malaysia yang selama ini dipegang oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum khususnya di Perak.

"Pemuda Pas Perak menggesa supaya Koon Yew Yin segera tampil menyembah permohonan ampun kepada Sultan Perak dan keluarga Diraja Perak.

"Dalam masa yang sama, beliau perlu membuat permohonan maaf secara umum di media dalam tempoh 24 jam di atas kata-katanya yang melampau dan menyinggung banyak pihak, selain berisiko mengundang tindakbalas negatif," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Itu keputusan saya: MB Perak]

Dalam pada itu, Mohd Akmal berkata, pihaknya menyarankan semua pihak untuk sama-sama membuat laporan polis sekiranya tokoh itu enggan memohon ampun dan meminta maaf dalam tempoh yang ditetapkan.

Beliau berkata, Pemuda Pas Perak komited dalam memperjuangkan isu yang berkaitan Islam, Raja dan Melayu.

"Justeru itu juga diingatkan kepada semua pihak sama ada individu, parti politik mahupun badan NGO agar menjaga keluhuran perlembagaan dan kedaulatan sultan.

"Pada masa sama memastikan kontrak sosial yang terbina dapat dijaga dan disemat utuh dalam jiwa rakyat supaya negara kekal dalam kesejahteraan," katanya.