SHAH ALAM - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad tidak menyokong PH menerima Ahli Parlimen BN yang lompat parti.

Menurutnya, perubahan kerajaan semasa PRU14 lalu disebabkan rakyat mahukan perubahan menolak BN.

"Tidak wajar jika Ahli Parlimen yang lain diterima masuk ke mana-mana parti komponen PH terutamanya mereka yang selama ini berdiam diri dengan kleptokrasi.

"Kita tidak boleh bersedih dengan sikap sinis golongan muda mengenai politik negara sekiranya hal politik masih dimainkan oleh orang yang sama.. itu yang kita tawarkan kepada mereka," katanya.

Katanya, kerajaan PH perlu ambil pendekatan matang politik dengan menawarkan layanan dan peruntukan sama adil kepada pembangkang.

"Kerajaan Persekutuan wajib memastikan tiada istilah berat sebelah atau pilih kasih dengan memastikan pembangkang mempunyai sumber untuk berkhidmat kepada pengundi mereka.

"Rasuah mesti dibawa ke pengadilan namun siasatan sedemikian tidak boleh digunakan untuk tujuan politik. Kami mengalu-alukan jaminan kerajaan bahawa hal seperti ini tidak akan berlaku," katanya.