KUALA TERENGGANU - Manifesto awal Pas Terengganu yang diumumkan di
Kampung Raja, Besut minggu lepas disifatkan seolah-olah menyamai janji
Pas untuk melunaskan janji kepada rakyat pada PRU 1999.
Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata, lima manifesto tersebut
juga lebih bersifat fokus kecil dan tertumpu penyelesaian jangka pendek
dan berpendapat, ia boleh diperbaiki ke arah mewujudkan skop lebih besar
selari dengan status Terengganu sebagai sebuah negeri yang pernah
menjadi negeri terkaya dalam negara sebelum ini.
“Saya harap pimpinan Pas akan mengeluarkan satu manifesto yang lebih
besar skopnya daripada apa yang telah diumumkan sebab lima perkara yang
diumumkan nampaknya seolah-olah manifesto yang diletak semula untuk
menunjukkan kesungguhan Pas untuk laksanakan janji tahun 1999 dulu.
“Kalau mengambil kira keperluan baru di zaman tahun 2017-2027, saya
rasa keperluan di negeri Terengganu adalah berbeza,” katanya, di sini.
Pas Terengganu mendedahkan lima manifesto awal dalam usaha menawan
negeri itu pada PRU14 antaranya pemberian satu lot tapak rumah bagi
setiap rakyat, pemberian geran tanah kekal, caj percuma rawatan di wad
kelas tiga di semua hospital kerajaan, peruntukkan RM300 untuk golongan
muda mendapatkan lesen motosikal dan karnival kahwin kali pertama secara
percuma di setiap Dun.
Azan bagaimanapun tidak menolak lima manifesto awal itu berkemungkinan
strategi Pas untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan rakyat, namun
menggambarkan tindakan itu tidak sesuai berikutan Pas pernah menjadi
kerajaan yang sudah tentu arif terhadap keperluan dan kehendak rakyat.
“Parti-parti yang lain itu bolehlah kata menunggu respons daripada awam
untuk membentuk manifesto tetapi parti-parti besar tidak perlu menunggu
pandangan orang ramai terutama yang pernah jadi kerajaan atau kerajaan
sekarang.
“BN adalah kerajaan, sepatutnya tidak perlu menunggu respons awam dan
Pas yang pernah jadi kerajaan sepatutnya ada mekanisme untuk
memahaminya,” katanya
Mengulas lanjut, Azan yang juga Adun Bandar bagaimanapun turut
mencadangkan kerajaan mahupun pembangkang menawarkan manifesto yang
boleh memberi penyelesaian jangka masa panjang terhadap masalah yang
sedang berkembang di negeri ini sejak 10 tahun lalu.
Paling mustahak katanya, semua pihak perlu melihat kepada kedudukan
ekonomi secara menyeluruh apatah lagi dengan peratusan agak tinggi
rakyat Terengganu bermasalah dalam pengurusan kewangan rumah tangga.
Beliau berkata, keadaan itu turut mempengaruhi masalah kuasa beli
sangat rendah sehingga produk di negeri ini tidak dapat dijual dengan
baik dengan kadar untung yang baik, selain aktiviti harian yang turut
menekan harga menjadi mahal, kos perkhidmatan meningkat, tiada mekanisme
kawalan hartanah dan jurang pengangguran semakin besar.
“Sehingga kini tidak nampak ada satu pelan penyelesaian jangka panjang.
Sekiranya kita tidak mengemukakan pelan penyelesaian jangka panjang,
kita bimbang keluk (carta aliran) ekonomi di Terengganu melengkung ke
bawah. Sekarang ini, memang sedang melengkung ke bawah. Kita bimbang
perkara ini makin menjunam,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu turut berpunca dari sudut lokasi berikutan
Terengganu berada di tengah-tengah antara Kelantan dan Pahang yang
menyebabkannya ‘terperangkap’ dalam pembangunan pesat di kedua-dua
negeri tersebut.
Beliau sehubungan itu turut mencadangkan manifesto sepatutnya menjurus
ke arah menyelesaikan ‘perangkap’ terbabit sambil memberitahu pihaknya
akan melancarkan manifesto bersama melibatkan parti-parti Pakatan
Harapan Terengganu dan juga Bersatu Terengganu secepat mungkin.