Datuk Seri Azizan Abdul Razak
$entry.content.caption.value
ALOR SETAR - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertegas mahu mengadakan muzakarah dengan Umno adalah bersifat peribadi, bukannya mewakili parti itu.
          
Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, pandangan Nik Abdul Aziz itu adalah atas kapasiti beliau sebagai pemimpin Islam, dan tidak sesekali mewakili pendirian Pas berhubung cadangan itu.
           
“Kenyataan itu atas kapasiti peribadi, tidak salah jika Nik Abdul Aziz mahu bersemuka dengan Umno atas inisiatif sendiri. Sebelum itu kita hendaklah jelas dan faham maksud sebenar beliau berhubung keputusan itu,” katanya.
           
Menurutnya, difahamkan jika Mursyidul Am Pas itu ingin mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Umno, ianya hanya bagi membincangkan hal berkaitan umat Islam, dan tidak bersangkutan dengan perkara lain.
          
“Jika dalam perjumpaan itu yang disebut sebagai muzakarah, beliau pergi untuk berdakwah kepada Umno, saya sokong. Beliau memang suka berdakwah, hak dia kalau nak pergi untuk dakwah Umno,” katanya, selepas menghadiri petisyen penerimaan masuk peguamcara anaknya, Ahmad Faiq, 25, di Mahkamah Tinggi Alor Setar, semalam.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz bertegas tetap mahu mengadakan muzakarah dengan Umno meskipun tidak dipersetujui pimpinan tertinggi Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menteri Besar Kelantan itu turut bertegas bahawa beberapa syarat yang beliau tetapkan untuk mengadakan muzakarah itu perlu dipatuhi Umno.

Bagaimana pun, Abdul Hadi yang sebelum ini membayangkan perlu diadakan muzakarah demi kepentingan umat Islam di negara ini, akhirnya menegaskan ia bukan membabitkan Pas dengan Umno, sebaliknya hanya pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Azizan yang juga Menteri Besar berkata, percanggahan pendirian antara Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi mengenai muzakarah itu, bukan sesuatu yang serius.

“Saya tidak fikir wujud situasi seperti yang digambarkan itu. Mungkin kedua-dua pihak mempunyai pendirian yang selaras tetapi media yang menggambarkan seolah-olah wujud percanggahan,” katanya.