Syiah: Penjawat awam akan dikenakan tindakan
KOTA BHARU - Penjawat awam yang terlibat dengan fahaman syiah akan
dikenakan tindakan, kata Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)
Datuk Makhtar Mustapha.
Beliau berkata ketua-ketua jabatan telah diminta untuk membuat
pemantauan bagi mengesan individu yang terlibat dengan fahaman syiah
ini.
"Mana-mana penjawat awam yang didapati terlibat dengan fahaman ini akan
di beri kaunseling, sebelum diambil tindakan yang sepatutnya jika
individu tersebut masih terus berdegil," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar
Penyelewengan dan Bahaya Fahaman Syiah Peringkat Negeri Kelantan, di
Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan di sini,
hari ini.
Beliau berkata setakat ini penularan fahaman tersebut dalam kalangan
penjawat awam masih dapat dikawal walaupun ada segelintir yang terlibat.
"Angka yang terlibat saya tiada lagi cuma dalam pengetahuan saya terdapat pegawai yang terlibat dengan fahaman ini, " katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah cawangan Akidah Bahagian Penyelidikan
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Mohd Aizam Mas'od berkata
terdapat individu yang telah dikenalpasti terbabit dalam penyebaran
fahaman syiah melalui laman sosial blog dan facebook.
"Setakat ini puluhan blog dan facebook berkaitan dengan fahaman
tersebut di negara ini telah dikenalpasti dan pihak Jakim dengan
kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sedang
menjalankan pemantauan bagi mengesan pemilik akaun berkenaan," katanya.
Katanya secara keseluruhannya kerajaan berjaya membendung perkembangan fahaman syiah di negara ini. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment