Monday, August 26, 2013
Rumah bekas pengarah polis Bukit Aman dipecah masuk
SHAH ALAM - Polis menahan lima pekerja binaan rakyat asing bagi membantu
siasatan kejadian pecah masuk rumah bekas pengarah polis Bukit Aman
bergelar Datuk di Seksyen 19 di sini, semalam.
Kesemua suspek berusia antara 22 dan 37 tahun itu ditahan di tapak
pembinaan rumah teres dua tingkat, yang terletak kira-kira 10 meter dari
rumah teres dua tingkat milik bekas pegawai kanan polis itu.
Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata mangsa
menyedari kediamannya dipecah masuk sejurus tiba di rumah selepas
menziarahi saudaranya di Ipoh, Perak, kira-kira 5.30 petang.
"Mangsa meninggalkan rumah pada Sabtu lepas, namun selepas pulang ke
rumah petang semalam, mangsa menyedari kediamannya berselerak dan empat
bilik tidur di tingkat atas telah diselongkar.
"Siasatan mendapati beberapa barangan milik bekas pengarah itu turut
hilang termasuk pingat kurniaan, jam tangan, barang kemas dan komputer
riba,” katanya kepada pemberita selepas majlis memasang Jalur Gemilang
pada kenderaan peronda polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor,
hari ini.
Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan kelima-lima
lelaki tanpa dokumen perjalanan diri itu ditahan beberapa jam selepas
laporan dibuat.
Siasatan forensik polis di lokasi kejadian menemui sembilan kesan cap jari pada tingkap hadapan rumah berkenaan, katanya.
Terdahulu pada majlis itu, beliau menyerahkan 800 helai Jalur Gemilang
untuk dipasang pada semua kenderaan peronda polis Kontinjen Selangor
bagi menaikkan lagi semangat patriotisme di kalangan anggota polis. -
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment