Jong-nam: Korea Utara hantar pegawai kanan ke KL
KUALA LUMPUR - Korea Utara menghantar seorang pegawai kanannya ke Kuala
Lumpur untuk berbincang dengan pihak berkuasa Malaysia mengenai perkara
berkaitan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu, Kim
Jong-un.
Pegawai berkenaan, bekas duta besar Korea Utara di Pertubuhan Bangsa
Bersatu (PBB) Ri Tong Il, tiba hari ini dan mengisytiharkan:"Mulai hari
ini, saya akan menjadi jurucakap rasmi."
Bercakap kepada pemberita tempatan dan luar negara yang menghadiri
sidang berita di perkarangan Kedutaan Korea Utara di sini, beliau
berkata perbincangannya akan ditumpukan kepada tiga perkara.
Katanya tiga perkara berkenaan adalah meminta mayat Jong-nam diserahkan
kepada Korea Utara, persoalan berhubung penahanan seorang rakyat Korea
Utara oleh polis Malaysia dan 'hubungan persahabatan' di antara
Pyongyang dan Kuala Lumpur.
Tong Il juga berkata beliau berharap dapat menyelesaikan 'isu
kemanusiaan' yang timbul berikutan kematian Jong-nam, yang hidup
terasing daripada Jong-un.
Tong Il bagaimanapun enggan memberitahu bila pertemuan dengan pihak
berkuasa Malaysia akan diadakan atau berapa lama beliau berada di negara
ini.
Setakat ini, tidak diketahui sama ada Tong Il datang bersendirian atau bersama-sama satu delegasi.
Jong-nam berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 8
pagi 13 Februari lepas untuk menaiki penerbangan ke Macau sejam kemudian
apabila dua wanita tiba-tiba muncul dan menyapu mukanya dengan tapak
tangan mereka yang mengandungi apa yang kemudiannya dikenal pasti
sebagai agen saraf VX.
Jong-nam kemudian mendapatkan pertolongan di kaunter khidmat pelanggan
lapangan terbang itu dan segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi
meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Beliau ke Malaysia pada 6 Februari lepas menggunakan pasport tertera nama Kim Chol.
Dua wanita - seorang yang menggunakan pasport Indonesia dan seorang
lagi menggunakan dokumen perjalanan Vietnam - ditangkap selepas
pembunuhan itu.
Seorang lelaki Malaysia dan seorang lelaki Korea Utara, Ri Jong Chol,
juga ditahan. Rakyat Malaysia itu kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Kedutaan Korea Utara di sini turut menjadi tumpuan media berikutan pembunuhan itu. - Bernama
1 orang berkata:
Diharap pihak berkuasa msia dpt bertolak ansur demi keselamatan negara dan rakyat msia. Takut kita dibuatnya dgn perangai komunis korea ni.
Mintaklah, lain kali jangan bagi komunis masuk negara kita. Kelam kabut negara dibuatnya. Yg dlm negeri pun tak terlayan, mintak jgn buat masalah dgn negara luar.
Post a Comment