Wakil rakyat DAP keluar parti hadiah kepada BN
GEORGETOWN - Tindakan Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him bersama
tiga wakil rakyat DAP Melaka keluar parti disifatkan sebagai hadiah
kepada BN.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak sangka Tong
Him bertindak sedemikian walaupun mempunyai perbezaan pendapat dalam
Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)
Menurutnya, beliau mengakui kesilapannya ini apabila turut beranggapan
dia akan kekal setia bersama DAP dalam kempen menyelamatkan Malaysia.
"Malah peletakan jawatan oleh empat wakil rakyat juga dilihat di luar
jangkaan kerana sebelum ini, Tong Him dipilih oleh Penasihat DAP, Lim
Kit Siang secara peribadi untuk bertanding PRU pada 1986.
“Beliau juga sebelum ini telah diselamatkan Kit Siang dari dibuang
parti selepas bertanding sebagai calon Bebas dalam PRU pada 2013
menentang calon DAP di kerusi Dun Kota Laksamana.
"Tindakan mereka ini dilihat sebagai hadiah kepada BN walaupun
diselubungi dengan pelbagai skandal rasuah terbesar antaranya 1MDB,”
katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Tong Him telah
berkali-kali berikrar kesetiaannya terhadap parti menyebabkan DAP tidak
mengambil sebarang tindakan terhadapnya.
“Pada ketika itu, kita percayai beliau mungkin hilang punca dan akan
kembali setia kepada parti dan rakyat. Ini kerana, beliau kerap
mengungkap hidup dan matinya tetap bersama DAP.
“Namun, dengan apa yang dilakukannya ini, jelas menunjukkan beliau
melanggar ikrar dan janjinya, bukan sahaja kepada parti tetapi rakyat
yang menyokong DAP. Saya sedih apabila mengetahui beliau akan
meninggalkan parti setelah menyertai DAP selama 35 tahun tanpa sebarang
masalah,” katanya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Dua Adun DAP serah surat makluman keluar parti]
Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata lagi, tindakan
keempat-empat wakil rakyat itu berkemungkinan kerana mereka ditolak ahli
DAP Melaka dalam Konvensyen Biasa DAP Negeri Melaka 2015 lalu.
“Apa yang kita nampak, mereka berubah selepas kekalahan mereka dalam
konvensyen dua tahun lalu. Mereka lebih memberi fokus menyerang parti
sendiri berbanding skandal rasuah BN terutamanya Ketua Menteri Melaka.
"Sepatutnya mereka berusaha mendapatkan semula keyakinan ahli DAP
Melaka tetapi apa yang dilakukan adalah di sebaliknya sehingga digantung
keahlian selama setahun.
Semalam, empat wakil rakyat DAP, Adun Duyong, Goh Leong San; Adun
Bachang, Lim Jak Wong dan Adun Kesidang, Chin Choong Seong termasuk Tong
Him mengumumkan keluar parti kerana sudah hilang kepercayaan kepada
pucuk kepimpinan parti.
Menurut Tong Him, keputusan yang dibuat mereka adalah wajar dan telah
mengambil kira beberapa perkembangan semasa dalam parti yang difikirkan
tidak lagi selari dengan matlamat penubuhan parti.
1 orang berkata:
Dah dpt dedak amno kot. Mcm lebai dol....
Post a Comment