Tawan kubu kuat Pas di Dun Panchor
KOTA BHARU – Amanah Kelantan mencadangkan anak bekas Mursyidul Am Pas,
Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Omar sebagai calon
parti itu untuk bertanding di Dun Panchor di bawah Parlimen Pengkalan
Chepa.
Hasrat tersebut disuarakan Pengerusi Amanah negeri, Datuk Wan Rahim Wan
Abdullah selepas pembukaan cawangan baru parti itu di Pulau Melaka,
kelmarin.
Hadir sama, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub dan Penasihat Amanah Negeri, Datuk Husam Musa.
Wan Rahim berkata, penerimaan 50 borang keahlian baharu sempena
pembukaan kawasan Pulau Melaka memberi gambaran permulaan baik kepada
parti itu, terutama untuk meneruskan perjuangan peninggalan Allahyarham
Tok Guru Nik Aziz.
Menurutnya, semangat yang ditunjukkan penduduk kawasan ini memang
sangat luar biasa, dan untuk tujuan pembukaan itu juga, dua bendera
Amanah digantung di laluan utama jambatan Pulau Melaka, iaitu di atas
pokok pulai setinggi 100 kaki.
“Dalam masa yang sama juga kami bercadang untuk membawa hasrat jadikan Nik Omar sebagai calon di sini.
“Kami tahu beliau mempunyai kredibiliti yang sama dengan arwah bapanya, dan mampu mengalas tanggungjawab dengan baik.
“Jika kita menang, maka secara automatiknya aura Tok guru itu masih kekal di sini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Amanah kini mempunyai 556 cawangan di
156 kawasan di seluruh negara, termasuklah di Pulau Melaka yang baru
dibuka mulai kelmarin.
Ditanya mengenai sejauh mana persediaan Amanah untuk berada di kubu
kuat Pas itu, Wan Rahim berkata, beliau yakin dan optimis Amanah boleh
memberi kejutan di kawasan tersebut.
“Kita mahu teruskan apa yang telah diasaskan oleh Tok Guru Nik Aziz
sebelum ini, malah sejak 30 tahun dulu. Saya yakin kita mampu
melakukannya, tambahan pula sambutan penduduk kawasan ini amat
mengujakan. Insya-ALLAH,” katanya.
Dalam pada Nik Omar ketika dihubungi Sinar Harian enggan mengulas lanjut berhubung cadangan tersebut.
Untuk rekod, Dun Panchor kini disandang Timbalan Menteri Besar
Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah selepas menewaskan calon BN, Che
Rosli Hassan dengan majoriti 5,036 pada PRU13 lalu.
2 orang berkata:
Hancur pas dibuatnya.
Hahahaha
Post a Comment