Abai isu tidak penting
Abdul Khalid selepas majlis Perjanjin Pelaburan dan Pemegang Saham Operator Telefon Bimbit Prabayar di sini semalam.
 
SHAH ALAM – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan dakwaan gerakan menjatuhkan Setiausaha Politik beliau, Faekah Husin yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi PKR sebagai tidak penting dan perlu  diabaikan.

“Ada gerakan juga untuk menjatuhkan Barisan Nasional (BN), (gerakan menjatuhkan individu) dalaman atau luaran parti pun serupa.

“Politik adalah ‘dynamic games’ tetapi ada juga yang banyak kenyataan itu ialah kenyataan spekulasi. Jadi kita tidak mengambil usaha itu sebagai satu usaha yang penting,” katanya.

Dakwaan gerakan itu menjatuhkan Faekah itu bermula di laman sosial Twitter dengan menggunakan #Kami Sayang PKR dan #Pecat Faekah yang menggesa agar Faekah meletak jawatan.

Abdul Khalid yang sedia maklum perkara itu berkata, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai objektif jelas di mana ketiga-tiga parti dalam PR bekerjasama dengan satu jiwa untuk membentuk dan menyediakan sebuah kerajaan  alternatif “Saya tahu tujuan ini, anda mesti tahu (perkara) ini dalam politik. Macam hal Datuk Seri Anwar Ibrahim, berapa banyak kes yang beliau lalui. Apa yang beliau lakukan, abaikannya.

“Bekerja keras adalah objektif terbaik. Jadi, saya ikut juga, abaikan semua itu kerana gangguan ini tidak akan memberikan nilai tambah kepada objektif anda,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji Faekah ketika ditanya dakwaan setiausaha politiknya itu didakwa bersikap lebih sudu dari kuah ketika mengeluarkan sesetengah kenyataan media.

“Itu bermakna beliau melakukan tugasnya dengan baik. Tujuan utama kita adalah komunikasi, bermakna kita harus menyebarkan maklumat yang betul kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media selepas Perjanjian Pelaburan dan Pemegang Saham Operator Telefon Bimbit Prabayar di sini semalam.