Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin
SHAH ALAM - Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin menafikan dakwaan sebuah blog bahawa beliau memberi surat sokongan kepada Firma Guaman untuk dilantik ke panel guaman syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau berkata, mengikut amalan biasa surat berkenaan akan dihantar kepada beliau dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, manakala tugas beliau hanya menerima dan menyerahkannya kepada GLC.


Menurutnya, walaupun beliau menandatangani surat berkenaan, namun ia tidak bermaksud salah guna kuasa berlaku kerana beliau tidak memberi projek kepada firma berkenaan.


Beliau bagaimanapun mengakui bahawa firma guaman tersebut adalah milik anak saudaranya.


"Selain surat tersebut, saya turut menandatangani beberapa surat lain daripada pelbagai firma guaman lain yang meminta perkara sama," katanya menerusi kiriman SMS, semalam.


Faekah berkata, pihak media wajar menghubungi sendiri GLC dan firma berkenaan, bagi memastikan sama ada wujud pemberian projek seperti didakwa.


Kelmarin, Sebuah blog pro Barisan Nasional (BN) mendakwa Faekah terlibat dalam salah guna, menerusi kiriman surat di antara beliau dengan sebuah firma guaman yang didakwa milik saudaranya.


Dalam blog sel13.com, turut menyertakan dua surat dari firma guaman dan Faekah yang menggunakan kepala surat Pejabat Menteri Besar Selangor.