Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub 
 
SHAH ALAM - Tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mempertikaikan bidaan nombor plat WWW1 bernilai RM520,000 yang dimenangi Sultan Johor bukanlah pandangan Pas, sebaliknya adalah pandangan peribadinya.

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, adalah tidak adil menyalahkan Pas kerana itu adalah tindakan spontan Mohammad Nizar selepas pengumuman dibuat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


"Biarlah undang-undang mengambil tempat berhubung perkara ini. Kita serahkan kepada saluran perundangan, setiap orang melakukan kesilapan.


"Tidak ada sesiapa pun berhak menghukum beliau melainkan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian semalam.


Beliau berkata demikian mengulas tindakan bekas Menteri Besar Perak itu yang mempertikaikan keputusan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menawarkan bidaan tertinggi nombor WWW1.


Bagaimanapun Nizar telah memohon maaf, 30 Mei lalu juga melalui laman Twitternya.


Tindakan Nizar itu membuatkan Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim bertitah menerusi mesej Twitternya, mempertahankan pembidaan nombor pendaftaran WWW 1 oleh ayahanda baginda Sultan Johor sambil menegaskan, kerabat diraja Johor tidak mengambil sebarang wang daripada kerajaan.


Baginda juga bertitah bahawa pihak-pihak yang mempertikaikan perkara itu boleh bertanya kepada Menteri Besar Johor ataupun mana-mana pegawai-pegawai Kerajaan Negeri.


Salahuddin berkata, Pas tetap dengan dasar mereka yang menghormati institusi Raja-Raja Melayu sebagai komponen perlembagaan negara.


"Pas tidak lentur dengan prinsip dan dasar parti yang meraikan Raja selaras dengan Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan kepada Raja dan Negara.


"Pas berpegang teguh kepada perkara ini dan terus memartabatkan Raja-Raja Melayu," katanya.


Baru-baru ini, JPJ melalui laman webnya telah menyenaraikan nama-nama pembida kepada nombor plat WWW dan “DYMM Sultan Ibrahim Johor” telah dinyatakan sebagai pembida yang berjaya membuat bidaan tertinggi mengatasi 9,998 pembida yang lain.


Jumlah RM520,000 yang dibayar baginda adalah yang tertinggi yang pernah dibuat ke atas nombor tunggal.