Barisan pengurusan Sinar Harian, pendebat dan moderator di akhir Debat Sinar Harian yang berlangsung
Barisan pengurusan Sinar Harian, pendebat dan moderator di akhir Debat Sinar Harian yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
SHAH ALAM – "Anak muda adalah tali hayat terakhir kepada parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13)."

Demikian kesimpulan Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar sebagai penutup tirai debat bertajuk PRU13: Orang Muda Pilih Siapa? anjuran Sinar Harian, petang tadi.


Debat tersebut mempertemukan dua tokoh politik muda Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya, di atas pentas Auditorium Kompleks Karangkraf.

Bertindak sebagai moderator, Mohamad Abu Bakar, kedua pendebat berjaya memberikan jawapan daripada dua bentuk hujahan mereka yang disifatkan amat baik untuk menyuburkan hala tuju politik baru yang lebih matang dan bertamadun kepada generasi akan datang.


"Saya melihat kedua tokoh ini memberikan dua jawapan hujahan yang mana dari satu seginya menjawab persoalan yang diutarakan dan sebahagian lainnya, telah memenuhi cita rasa pendengar," katanya.


Menurutnya, sifat kepimpinan yang muncul dari pendebat ini telah menunjukkan pemimpin muda dapat mempengaruhi dan mematangkan cara anak muda berfikir dalam politik.


"Ia sekali gus membolehkan generasi muda hari ini untuk memilih pimpinan politik yang mampu memacu masa depan negara," katanya.


Sebelum itu, ketika memulakan debat, Mohamad Abu Bakar membuka tirai dengan menyelitkan kata-kata dari Rasulullah SAW dan bekas Presiden Indonesia, Soekarno yang sering memberi kepercayaan kepada generasi muda untuk membangkitkan semangat dan menerajui kepimpinan negara.


"Berdasarkan pemerhatian saya, keduanya dapat menjawab soalan yang diberi dalam masa yang bertepatan. walaupun debat yang dianjurkan berjalan dalam suasana yang agak hangat tetapi ia masih terkawal," katanya.


Menurutnya, tugas beliau sebagai moderator lebih mudah kerana kedua-dua tokoh memberikan hujah yang bernas dan selari dengan soalan yang diberikan.


Beliau berkata, program seumpama ini perlu diteruskan untuk menyuburkan politik matang untuk kebaikan semua.