Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta supaya pengadu yang menimbulkan dakwaan penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan rasuah oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail supaya tampil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan tersebut.

Satu kenyataan dari SPRM hari ini menyebut bahawa bekas pengarah urusan Ho Hup Bhd, Datuk Low Tuck Choy juga perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu.
"Jika Low mempunyai bukti yang boleh menyokong dakwaannya, beliau amat dialu-alukan untuk menyerahkannya kepada SPRM bagi membantu siasatan. Setakat ini, Low masih belum berbuat demikian.

"Buat masa ini, bagaimanapun, suruhanjaya ini berpendapat bahawa Low masih belum diperlukan untuk dipanggil bagi siasatan melainkan beliau mempunyai bukti konkrit mengenai salah laku itu," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu juga menyebut, siasatan ke atas kes berkenaan juga telah dimulakan pada 9 September 2011, sebaik sahaja maklumat berhubung kes tersebut diterima.

Kenyataan itu sebagai reaksi kepada laporan Malaysiakini semalam berhubung laporan polis Low yang mempersoalkan mengapa siasatan masih belum dimulakan ke atas Gani. - mk