Amuk di JPM
Amuk di JPM
KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih belum dapat mengesahkan sama ada Khalil Afandi Hamid dan seorang wanita yang mengamuk di Kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya dengan bersenjatakan pedang samurai kelmarin terbabit dalam ajaran sesat.  

Dipetik Bernama, Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, Jakim bagaimanapun tidak menolak kemungkinan mereka mempunyai masalah mental dan cenderung kepada pengaruh ganas dan ekstrem 'dari apa yang diminati'.


"Secara keseluruhannya kita mendapati beliau memang mengalami kecelaruan akidah dan salah faham dalam mentafsir ajaran Islam," katanya kepada Bernama hari ini.


Othman berkata, siasatan akan diteruskan di peringkat Jakim dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Isnin lepas, Khalil Afandi 47, yang mengaku dirinya ‘Imam Mahadi’ dan pasangannya, Muhdalina Ahmad, yang bersenjatakan dua bilah pedang samurai dan sebilah pisau pemotong daging mengamuk di perkarangan Kompleks B, JPM.
  
Dalam kejadian 2.30 petang itu, Khalil Afandi mati ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas terkena tembakan di tangan dan bahagian ari-ari manakala wanita berkenaan, bekas penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, terkena tembakan di paha kanan dan dirawat di hospital yang sama.