Tian Chua JOHOR BAHRU - PKR tetap dengan pendirian untuk tidak menyerahkan senarai nama calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib Presidennya, Tian Chua berkata, SPRM seharusnya bebas daripada politik sekali gus tidak terlibat dalam pemilihan calon.

“Kita tidak setuju dan tidak akan buat sebab SPRM kerja mereka tangkap orang melakukan rasuah.

“SPRM diwujud bukan untuk bantu parti politik pilih calon, tetapi mereka bertanggungjawab tangkap orang terlibat rasuah. Oleh itu, parti politik tidak sepatutnya hantar nama kepada SPRM malah tidak diwajibkan,” katanya.

Kata beliau, SPRM diminta mengambil tindakan tegas terhadap beberapa pemimpin yang didakwa gagal dalam ujian tapisan kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.

“Kenapa hanya gugur nama sahaja? SPRM perlu bertegas dan siasat serta tangkap jika terbukti pemimpin digugurkan ini bersalah,” katanya.