Timbalan presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn menuntut polis mengambil tindakan ke atas presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali yang digelarnya sebagai seorang "anarkis" kerana menyeru supaya membakar kitab Injil menggunakan kalimah Allah dalam bahasa Melayu.

Katanya, seruan MP Pasir Mas itu akan menyebabkan "ketegangan" akan berlanjutan kepada "huru-hara di jalanan".

"Cadangan ekstrem ini pasti akan memprovokasi kemarahan masyarakat Kristian kerana mereka melihat ia sebagai penghinaan besar kepada agama mereka.

"Saya percaya tiada agama di dunia yang menggalakkan pengkhutbah mereka untuk menghina agama lain," kata Chang dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau juga mahu polis bertindak ke atas kumpulan yang didakwa menyebarkan risalah bagi mempromosi satu acara mambakar Injil pada 27 Januari di Pulau Pinang.