Najib Tun Razak
 
Perdana Menteri ketika melancarkan pembangunan bandar baru pekan Beaufort pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Beaufort Sabah, hari ini. - Foto Bernama
 
PAPAR - Kerajaan Malaysia akan melakukan yang terbaik, termasuk melalui perundingan, bagi menangani isu pencerobohan sekumpulan warga Filipina di perairan negara di Lahad Datu, Sabah.

Sambil menegaskan keadaan di Lahad Datu, bahagian pantai timur Sabah terkawal, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tindakan itu penting bagi memastikan kumpulan yang berjumlah antara 80 dan 100 anggota itu "keluar dengan selamat ke Selatan Filipina", sekali gus mengelak pertumpahan darah.

"Ini yang kita nak kerana mereka ada juga saudara mara di sini... jadi kita tidak mahu ada nyawa yang terkorban dan sebab itu kita minta mereka balik dengan cara yang baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Rakyat di Padang Pekan Papar di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika ditanya perkembangan terkini di Lahad Datu berikutan laporan yang memetik Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai berkata pasukan keselamatan menahan sekumpulan warga asing menyamar sebagai anggota tentera cuba menceroboh perairan negara di Lahad Datu.

Ahmad Zahid berkata beliau mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama dengan polis mengambil tindakan segera berhubung perkara itu. - Bernama