Bahasa
Mahkamah wakil calon PAS mengaku tidak bersalah kunci peti undi
PORT
DICKSON, 2 Mei — Seorang wakil kepada calon PAS bagi kawasan Parlimen
Telok Kemang pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), mengaku tidak
bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan mengunci sembilan
peti undi di Pusat Mengundi Dewan Hangar, Pusat Latihan Asas Tentera
Darat (PUSASDA), Selasa lepas.
Azahari Ismail, 46, yang bekerja di MASkargo Sdn. Bhd. (MASkargo),
Lapangan Terbang Antara Kuala Lumpur (KLIA), membuat pengakuan itu
selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M.
Mageshwary.
Mengikut pertuduhan, Azahari didakwa menganggu dengan mengunci
sembilan peti undi menggunakan sembilan mangga jenama Yunxian, di Pusat
Mengundi Dewan Hangar, PUSASDA, antara pukul 7.00 malam dan 7.10 malam,
30 April 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Pilihan Raya 1958, yang
memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak
lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Majistret Mageshwary kemudiannya membenar Azahari diikat jamin
sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Jun depan
sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaili Sapun
manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa dan
Hazwan Mohd Nor.
Akhbar hari ini melaporkan seorang wakil PAS bagi kawasan Parlimen
Telok Kemang mengunci sembilan peti undi selepas proses pengundian awal
di PUSASDA di sini Selasa lepas.
Pada PRU13 Ahad ini, kawasan Parlimen Telok Kemang menyaksikan calon
Barisan Nasional Datuk V.S Mogan dicabar penyandang Datuk Kamarul
Baharin Abbas daripada PKR, dan calon Bebas Datuk Kumaravel Abdullah. —
Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment