Perutusan TS Khalid Ibrahim Untuk Rakyat Malaysia
Kearah Malaysia terunggul — Abdul Khalid Ibrahim
May 03, 2013
Rakyat Malaysia seharusnya menikmati yang terbaik untuk semua.
Pemimpin kita seharusnya
mencerminkan kewibawaan sebenar rakyat Malaysia, layak mendukung harapan
dan aspirasi kita, dan mampu merealisasikan potensi sebenar kita.
Hakikat ini disedari jutaan
rakyat Malaysia yang berusaha tanpa mengenal penat lelah demi kehidupan
yang lebih baik untuk diri dan keluarga. Masanya telah tiba untuk kita
membuang segala ketakutan dan keraguan yang selama ini menjadi
penghalang dan mengejar masa depan yang lebih cerah.
Kita tidak perlu lagi dibebankan
dengan pemimpin yang hanya tahu ‘mengambil’, kerana rakyat sepatutnya
berhak kepada pemimpin yang lebih mahir ‘memberi’.
Kita tidak mahukan habuan dari
pemimpin kita; sebaliknya kita hanya perlukan pemimpin yang mampu
menguruskan negara dengan bijak dan mewujudkan peluang yang adil untuk
semua.
Yang kita dahagakan adalah
kesamarataan di mana kemewahan boleh dicapai oleh sesiapa yang rajin
berusaha di mana kejayaan diperolehi hasil daripada usaha kita, bukan
hubungan kita dengan mana-mana pihak.
Kita perlukan pemimpin yang
sanggup berkhidmat dengan rendah diri, bukan pemimpin angkuh yang
menganggap rakyat wajib syukur atas ‘sumbangan yang diberikan’.
Jika khazanah negara digunakan
untuk mengisi poket pihak berkepentingan dan bukan dilaburkan untuk masa
depan kita bersama, maka sudah tiba masanya untuk harapan baru.
Rakyat Malaysia berhak mendapat
pentadbiran yang telus yang akan membolehkan kita semua melihat dengan
jelas bagaimana kekayaan negara diuruskan.
Rakyat Malaysia berhak hidup
tanpa pemisahan antara kaum atas sebab-sebab politik. Terlalu lama kita
sudah dibebankan dengan pemimpin yang mengapi-apikan sentimen perkauman
demi memenuhi kepentingan peribadi.
Rakyat Malaysia berhak mendapat
pemimpin yang menyemai dan mengukuhkan semangat muhibah yang sememangnya
sedia wujud dalam kalangan rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia juga berhak
merasai demokrasi sebenar – iaitu keupayaan untuk menentukan nasib
mereka sendiri secara bebas dan adil.
Kuasa yang dibiarkan berleluasa
terlalu lama selalu melahirkan pemimpin sembrono yang bertindak sesuka
hati tanpa melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat yang sepatutnya.
Kita mesti sentiasa beringat
bahawa kita bukan sekadar ingin menukar kerajaan. Kita juga bukan
sekadar ingin menggantikan individu atau parti tertentu sahaja. Kita
bertekad menggantikan keseluruhan budaya politik feudalisme dan rasuah
yang berleluasa. Oleh itu kita tidak akan bertolak ansur dengan
mana-mana musuh dalam selimut yang mengaku kononnya sekutu kita tetapi
masih mengamalkan budaya dan politik yang lama.
Sebarang kegagalan untuk
menggantikan budaya lama ini akan bermaksud usaha pembaharuan kita tidak
bermakna dan lompong. Harapan perubahan yang dijanjikan kepada rakyat
Malaysia bukan calang-calang tanggungjawab malah merupakan amanah besar.
Walau apapun keputusan pada 5
Mei ini, banyak lagi cabaran dan dugaan yang perlu kita hadapi.
Walaubagaimanapun, Insya’Allah, ia akan menjadi langkah pertama ke arah
membina Malaysia yang unggul seperti yang kita idamkan sejak sekian
lama.
Malaysia yang kita impikan ini
memang sudah berada dalam genggaman kita. Kita hanya perlu bangunkan
semangat yang sedia ada dalam diri kita, dan mara seiringan dengan penuh
keberanian untuk merealisasikan Malaysia yang terunggul.
Read More “Perutusan TS Khalid Ibrahim Untuk Rakyat Malaysia” »»
0 orang berkata:
Post a Comment