Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified
Soi Lek didesak letak jawatan

8 Mei 2013
Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek
GEORGETOWN - Datuk Seri Dr Chua Soi Lek didesak meletak jawatan sebagai Presiden MCA ekoran kekalahan teruk parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad lepas.

Desakan itu dibuat oleh enam bahagian MCA Pulau Pinang iaitu MCA Bahagian Jelutong, Bayan Baru, Tanjong, Bukit Bendera, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor yang  mahu Dr Chua bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan itu.

Setiausaha MCA Bahagian Bayan Baru David Yim berkata peletakan jawatan itu adalah sebagai menjaga maruah dan nama baik parti.

"Ini juga merupakan satu-satunya  peluang bagi Datuk Seri Dr Chua Soi Lek untuk menebus dirinya dan meminta maaf kepada semua masyarakat Cina Malaysia dan anggota MCA atas kerosakan yang beliau telah lakukan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MCA Bahagian Jelutong, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tanjong Lee Hack Teik, Ketua Pemuda Bahagian Jelutong Tan Eng Hin, Naib Pengerusi MCA Bahagian Bukit Bendera Tan Khai Beng, Ketua Bahagian MCA Permatang Pauh Datuk Ma Kok Ben, Ketua Bahagian MCA Tasek Gelugor Kong Chu Hock dan Ketua Bahagian MCA Jelutong Datuk Leow Soo Tat.

David yang mewakili keenam-enam bahagian MCA itu berkata tiga sebab mengapa Chua perlu meletakkan jawatan sebagai presiden parti antaranya Dr Chua memilih kroni dalam soal pemilihan calon yang bertanding pada PRU13.

"Manakala sebab kedua ialah krisis moral dan akhlak beliau (Dr Chua) yang tercemar adalah bertentangan dengan nilai-nilai murni khususnya dalam kalangan masyarakat Cina," katanya.

Selain itu, katanya sikap Dr Chua yang mementingkan diri sendiri juga adalah antara alasan mengapa beliau perlu meletak jawatan kerana sikapnya itu menyebabkan  perhubungan antara masyarakat Cina dan MCA menjadi longgar sehingga mengakibatkan kelompok itu tidak memberi sokongan kepada MCA dalam PRU13.

David dan rakan pemimpin lain juga meluahkan rasa kesal dan kecewa dengan keadaan yang terjadi  ketika ini kerana parti itu sekarang dilabelkan sebagai sebuah parti "Seven Eleven' yang hanya menjual cakera padat.

"Sebagai anggota parti yang setias, kami mahu menyokong parti kami dan membantu pembinaan, penstrukturan dan pembaharuan semula parti. Jika kami tidak melakukan pembaharuan sekarang, saya fikir dalam pilihan raya umum akan datang, MCA akan disapu bersi,"  katanya.

Pada PRU 13, MCA hanya menang tujuh kerusi Parlimen daripada 37 dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 90 yang ditandingi. Keputusan itu adalah  paling teruk berbanding PRU 2008 apabila MCA memenangi 15 kerusi Parlimen daripada 40 kerusi dan 32 kerusi DUN daripada 90 kerusi yang ditandingi.

Di JOHOR BAHARU, Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Pulai, Chia Song Cheng juga menggesa Dr Chua meletak jawatan parti bagi membolehkan MCA melantik  kepimpinan baharu yang dapat menyusun jentera bagi mengembalikan keyakinan masyarakat Cina terhadap parti berkenaan.

Katanya atas rasa tidak percaya terhadap kepimpinan Dr Chua, beliau pada hari ini turut mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Johor yang disandang sejak tahun 2009.

"Surat peletakan jawatan itu sudah diserahkan pagi tadi kepada Presiden, bagaimanapun, saya tetap merupakan anggota MCA dan masih sebagai Timbalan Pengerusi  MCA Bahagian Pulai serta Pengerusi MCA Cawangan Kampung Kempas Baru demi berkhidmat kepada masyarakat Cina.

"Tidak timbul soal saya merajuk kerana tidak terpilih sebagai calon dan ini dibuktikan sepanjang kempen pilihan raya baru-baru ini apabila saya turun membantu calon BN Parlimen Pulai dan DUN ke 28 Pusat Daerah Mengundi," kata bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Rinting itu kepada pemberita.

Beliau turut menggesa anggota Jawatankuasa Pusat MCA mengadakan mesyuarat khas bagi mengkaji punca penolakan kaum Cina terhadap parti itu dan BN pada pilihan raya kali ini.
Katanya, kajian mendalam itu bukan sahaja dapat mengembalikan semula sokongan kaum Cina terhadap MCA dan BN tetapi untuk MCA menyusun kembali jenteranya  bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.- Bernama

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.