02 Jun 2013
Baik pulih persefahaman kebangsaan
23 Rejab 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
menitahkan semua pihak, tanpa mengira kaum dan kepercayaan, menyokong
usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membaik pulih
semula persefahaman kebangsaan.
Dalam titah itu, Seri Paduka mahu agar prinsip-prinsip seperti demokrasi
berparlimen yang sihat dan matang, Raja Berpelembagaan sebagai teras
kestabilan nasional, menghormati falsafah Persekutuan, meraikan
kepelbagaian, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan memuliakan
kedaulatan undang-undang dijadikan teras panduan kepada proses itu.
“Membaik pulih semula persefahaman kebangsaan harus menjadi agenda
nasional yang menjadi keutamaan semua pihak. Sama ada Malaysia terus
berjaya dan mencapai tahap pembangunan berikutnya sebagai sebuah negara
maju berpendapatan tinggi atau menjadi sebuah negara gagal, semuanya
bergantung kepada permuafakatan yang akan sama-sama kita capai.
“Oleh kerana itu, Beta mahu semua pihak mengekalkan dan memperkukuhkan
lagi ikatan perpaduan yang sedia wujud,” titah Seri Paduka pada Istiadat
Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran Persekutuan sempena Hari
Keputeraan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara di sini hari ini.
Seri Paduka turut mengingatkan sesetengah pihak yang cuba membaja
permusuhan dan persengketaan di kalangan rakyat demi kepentingan agenda
sempit mereka, supaya segera menghentikan perbuatan yang tidak
berperlembagaan itu.
Seri Paduka bertitah usaha pengukuhan perpaduan nasional tidak boleh
dianggap sebagai tugas serta tanggungjawab pihak tertentu sahaja,
sebaliknya ia menjadi agenda setiap warganegara.
“Beta berkehendakkan agar kerajaan pimpinan Mamanda Perdana Menteri Beta
supaya memastikan setiap dasar pembangunan negara hendaklah berpandukan
kepada prinsip meraikan kemajmukan.
“Realitinya, masa depan kita saling berkait dan memerlukan satu sama
lain. Semua rakyat Beta, tanpa mengira kaum dan agama seharusnya
mendapat pembelaan,” titah baginda.
Tuanku Abdul Halim melahirkan rasa sukacita kerana proses pilihan raya umum lepas berjalan dengan tertib dan harmonis.
Baginda turut mengulangi agar semua pihak menerima keputusan yang telah
dibuat rakyat iaitu melalui peti undi yang selaras dengan prinsip
keluhuran dan kedaulatan undang-undang.
“Jika terdapat sebarang perbezaan atau ketidakpuasan hati, maka
gunakanlah mekanisme mahkamah yang sedia ada, sepertimana diperuntukan
Perlembagaan dan undang-undang negara.
“Beta tidak mahu mana-mana pihak mengambil sebarang tindakan yang lampau
undang-undang, mahupun lampau Perlembagaan,” titah Seri Paduka.
Seri Paduka juga berharap agar kerajaan dan rakyat Malaysia akan terus
mendukung cita-cita untuk menjadi sebuah negara maju, beretika, bermoral
tinggi dan rakyatnya dikenali sebagai bangsa yang berakhlak, bermaruah
serta disegani.
- Bernama



0 orang berkata:
Post a Comment