[KENYATAAN MEDIA] Penahanan Anti-Demokratik Atas Arahan Ketua Menteri Sabah Diselar

31 MEI 2013
Semalam,
30 Mei 2013, saya telah ditahan apabila kad pengenalan saya diambil di
pintu masuk imigresen untuk menghalang saya daripada memasuki negeri
Sabah, walaupun hak saya selaku warganegara Malaysia termaktub di bawah
Seksyen 67 Akta Imigresen 1959/63:
67. Hak untuk masuk ke Negeri Malaysia Timur bagi menjalankan hak-hak politik.
Seksyen
66 (1) hendaklah tidak berkuatkuasa dalam hubungan dengan seseorang
warganegara yang memasuki Negeri Malaysia Timur hanya untuk menceburkan
diri dalam aktiviti politik yang sah; tetapi beban membuktikan bahawa
seseorang itu berhak memasuki Negeri Malaysia Timur di bawah seksyen ini
terletak ke atasnya.
Lawatan saya ke Sabah adalah untuk
menghadirkan diri dalam program Parti Keadilan Rakyat Sabah di samping
menyambut pesta Kaamatan bersama warga tempatan.
Alasan yang
diberikan atas penahanan saya adalah atas arahan Pejabat Ketua Menteri
Sabah. Saya juga difahamkan ada nama-nama lain, termasuk aktivis
tempatan beserta ahli politik Pakatan Rakyat yang akan juga dinafikan
kemasukan ke dalam negeri Sabah atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Sebagai
seorang Ahli Parlimen Malaysia, dan warganegara Malaysia, tindakan
menyekat kemasukan yang tidak rasional dan bersebab ini merupakan salah
guna kuasa yang melampau dan cukup anti-demokratik. Permohonan saya
untuk mendapatkan senarai nama mereka yang terlarang ditolak atas
sebab-sebab kerahsiaan. Tiada alasan lain diberikan dalam tangkapan dan
penafian masuk saya ke Sabah.
Sekiranya saya dianggap mengancam
keselamatan warga Sabah, maka kemukakan rasional serta penjelasan atas
dakwaan tersebut. Rasional yang sama juga perlu diberikan dalam kes YB
Tian Chua, Ahli Parlimen Batu dan Naib Presiden KEADILAN, yang juga
dinafikan kemasukan pada 7 April yang lalu.
Isu keselamatan negara
dan persempadanan tidak boleh sama sekali dipolitikkan. Malang,
tindakan menghalang saya daripada masuk ke Negeri di Bawah Bayu ini
berlaku di kala Sabah berhadapan dengan kebolosan sempadan – termasuklah
pengeluaran kad pengenalan secara haram seperti yang sedang disiasat
oleh Suruhanjaya Siasatan DiRaja Sabah. Seharusnya tumpuan kerajaan
negeri adalah mengawal selia masalah kebolosan yang mendesak ini, bukan
menyalahgunakan kuasa dengan menafikan hak demokrasi dan aktiviti
politik pimpinan Pakatan Rakyat demi mempertahan kedudukan UMNO mahupun
BN.
Justeru itu, isu keselamatan dan kedaulatan negara sepatutnya
tidak diperlekehkan dengan menjadikan ia alat politik menindas rakyat.
KEADILAN
akan menghantar surat rasmi ke Pejabat Ketua Menteri Sabah untuk
mengemukakan aduan rasmi serta mendapatkan penjelasan sepenuhnya
mengenai isu ini. KEADILAN akan turut meminta senarai nama-nama mereka
yang dihalang memasuki negeri Sabah, serta sebab-sebab mereka dihalang.
Pada
masa yang sama, YB Darrell Leiking, Ahli Parlimen Penampang, akan
mengetuai sebuah jawatankuasa guaman di Sabah untuk mengambil tindakan
undang-undang terhadap Ketua Menteri yang akan difailkan di Kota
Kinabalu kelak.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden KEADILAN


0 orang berkata:
Post a Comment