Awang Selamat: Cadangan parti tunggal mungkin sebabkan BN terkubur
“Isu paling mendesak pada pasca PRU13 ini bukan parti tunggal, tetapi bagaimana Umno mengukuhkan lagi kekuatannya bagi menghadapi PRU14 nanti, dan bagaimana MCA dan Gerakan dapat bangkit dengan membina kekuatan dalaman mereka terlebih dahulu,” kata Awang dipetik akhbar Umno itu.
“Lebih banyak kita melayan tuntutan kepada keterbukaan lagi mengundang risiko besar. Masyarakat Cina telah memilih DAP untuk menumbangkan kuasa politik Melayu dengan dorongan perhuangan sama rata.
“Selagi itu tidak tercapai, selagi Melayu tidak bersatu apatah lagi ada pemimpin Melayu diperkudakan, selagi itu kaum Cina tidak menyokong BN,” katanya.
Transformasi politik jelas Awang tidak boleh dilaksanakan secara meluas dan dilakukan tergesa-gesa pada masa banyak lagi isu kritikal yang belum ditangani.
“Mengapa perlu bercakap tentang parti tunggal sedangkan untuk mewujudkan konsep sekolah tunggal yang sangat penting keperluannya, ditolak mentah-mentah oleh parti komponen BN sendiri,” kata Awang.
Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno kelmarin turut membincangkan cadangan menjadikan BN sebagai parti tunggal yang membuka keahlian kepada semua kaum tanpa kewujudan parti komponen.
Malah, Umno juga akan mengadakan perbincangan diperingkat makmal bagi mengkaji keperluan tersebut yang telah dikemukakan parti komponen BN daripada Gerakan dan Parti Progresif Rakyat (PPP).
Bekas editor di akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times (NST), Datuk A. Kadir Jasin, dalam blognya semalam turut menolak idea berkenaan dan berkata hanya parti komponen BN majoriti Cina yang “nazak” seperti Gerakan, MCA dan SUPP yang akan menimbangkan cadangan itu.
“Presiden Umno, Mohd Najib Abdul Razak, mungkin boleh ‘memujuk’ kepemimpinan Umno untuk melayan (entertain) idea ini, tetapi saya tidak menjangka akar umbi Umno akan menerimanya. Umno adalah parti akar umbi!” kata A. Kadir dalam blognya, merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Kadir turut mempersoalkan keputusan untuk menjadikan BN sebagai parti tunggal sedangkan Umno yang menjadi tulang belakang kepada perjuangan parti pemerintah itu diakui sendiri oleh Najib sebagai parti yang kuat.
“Saya tidaklah mahu membuat andaian yang Mohd Najib sekali lagi tunduk kepada kehendak orang Cina apatah lagi selepas beliau sendiri menyalahkan tsunami Cina sebagai punca ketidakcemerlangan prestasi beliau dalam PRU 5 Mei lalu,” katanya.
“Lagipun, seandainya Umno lebih kuat selepas PRU13 seperti Mohd Najib dakwa ketika mesyuarat Majlis Tertinggi Umno malam tadi, mengapa harus ia dibubarkan dan bergabung dengan parti lain menjadi sebuah parti tunggal?” soalnya.
Najib sebelum ini berkata Umno masih kuat apabila berjaya menambah bilangan kerusi Parlimen daripada 79 pada PRU12 2008 kepada 88 pada pilihan raya kali ini, berbanding Pakatan Rakyat (PR) yang hanya memperoleh 89 kerusi daripada ketiga-tiga parti komponen mereka —PKR, PAS, DAP.
Kadir turut berkata, mengapa perlunya Umno dan parti-parti Bumiputera yang kukuh di Sarawak dan Sabah dibubarkan dan digabungkan menjadi parti tunggal semata-mata bagi melayan idea parti-parti Cina BN yang ditolak oleh orang Cina sendiri dalam PRU lalu.
“Kalau Umno dibubarkan bagi memberi laluan kepada penubuhan parti tunggal BN, kemungkinannya banyak ahli dan penyokongnya akan beralih kepada PAS kerana orang Melayu masih berasa mereka memerlukan parti Melayu-Islam,” katanya.
Pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn minggu lalu berkata cadangan penyatuan antara parti komponen seperti Gerakan, MCA, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) tidak dapat dilaksanakan tanpa menjadikan BN parti tunggal kerana setiap parti komponen BN mempunyai Perlembagaan yang berbeza, dan berlandaskan kepada parti berteraskan kaum.


0 orang berkata:
Post a Comment